AM > BERITA

Institusi Zakat Perlu Jadi Tunjang Pembasmi Kemiskinan Tegar - PM Anwar

08/11/2025 02:26 PM

BUKIT MERTAJAM, 8 Nov (Bernama) -- Institusi zakat perlu lebih proaktif sebagai instrumen sosial yang mampu menyelesaikan masalah kemiskinan tegar sejajar dengan agenda Kerajaan MADANI yang berasaskan nilai ihsan dan tanggungjawab sosial Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sehubungan itu kerajaan memberikan perhatian serius terhadap penyelesaian isu kemiskinan tegar dan langkah itu perlu disokong oleh semua institusi Islam.

“Kadang-kadang kita anggap zakat sebagai satu ritual biasa iaitu bayar zakat tetapi lupa bahawa institusi sesebuah negara itu tertegak dengan institusi zakat dan dasar ekonomi yang mesti menyelesaikan masalah rakyat yang tersisih, terbiar, terpinggir serta termiskin. 

“Sebegitu pentingnya soal zakat daripada konteks kemiskinan rakyat, tanggungjawab sosial atas manusia yang daif, zakat itu institusi penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembangunan Masjid MADANI Arowana Permatang Pauh di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Anwar juga menegaskan pembinaan masjid bukan sekadar menzahirkan kemegahan seni bina tetapi berfungsi sebagai pusat pembinaan akidah, akhlak dan masyarakat berilmu yang menegakkan nilai Islam.

Mengenai pembinaan Masjid MADANI Permatang Pauh yang menelan kos RM75 juta, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata ia dilaksanakan tanpa menggunakan dana kerajaan sebaliknya dibiayai sumbangan rakan-rakan tempatan dan luar negara.

Perdana Menteri memaklumkan jumlah itu diperoleh menerusi sumbangan sahabatnya di luar negara manakala selebihnya daripada penderma dalam negara termasuk syarikat-syarikat tempatan.

Masjid di tapak seluas 2.22 hektar di Taman Arowana bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan itu dijangka siap pada suku keempat 2027.

Berkeluasan lebih 10,000 meter persegi, masjid itu boleh menampung kapasiti 5,249 jemaah serta dilengkapi dewan serba guna, perpustakaan, bilik kuliah, bilik musafir, bilik jenazah, pejabat pentadbiran, kuarters kakitangan dan parkir yang luas.

Masjid yang bakal menjadi kompleks komuniti Islam moden itu direka menggunakan khidmat arkitek tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan