ALOR SETAR, 9 Nov (Bernama) -- Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membangunkan UniMAP ROTU Alumni Tracking System bagi menjejak dan mengurus maklumat alumninya dengan lebih sistematik dan efisien.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata sistem itu merupakan platform digital pertama yang membolehkan alumni pegawai kadet mengemas kini maklumat peribadi, status pekerjaan dan lokasi semasa mereka secara dalam talian, sekali gus memperkukuh hubungan antara alumni dengan universiti.
Zaliman yang juga Komandan PALAPES UniMAP berkata sistem yang dibangunkan oleh Data Management and Digitalisation Centre (DMDC) dengan kerjasama PALAPES UniMAP itu ialah langkah penting dalam mempertingkatkan kecekapan pengurusan data alumni.
"PALAPES UniMAP merupakan pasukan pertama yang membangunkan sistem digital seperti ini yang direka bentuk dengan pelbagai fungsi tambahan bagi memudahkan pemantauan dan rujukan.
"Satu daripada fungsi menarik sistem ini ialah kemas kini pin lokasi setiap tiga bulan yang membolehkan keberadaan terkini alumni PALAPES dikesan secara automatik melalui peta digital," katanya pada Majlis Santapan Malam Rejimental PALAPES UniMAP dekat sini malam tadi.
Pada majlis itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor UniMAP berkenan menyempurnakan pelancaran sistem berkenaan.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Dalam pada itu, menurut Zaliman, data dalam sistem berkenaan amat penting bagi memastikan setiap alumni kekal dihubungkan dengan universiti walau di mana-mana mereka berada.
"Pin ini nanti akan membantu menjejak alumni secara lebih sistematik dan menjadi landasan bagi memperkukuh jaringan kebersamaan antara UniMAP dengan bekas pegawai kadet.
“Sistem yang memanfaatkan teknologi digital masa kini itu turut memaparkan maklumat tahun pengambilan, negeri asal, bidang kerjaya dan majikan alumni.
“UniMAP ROTU Alumni Tracking System juga menyediakan laporan analitik dan statistik bagi membantu pihak pengurusan merancang program alumni dengan lebih strategik," katanya.
Sementara itu, Timbalan Komandan PALAPES UniMAP Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir berkata sistem itu akan terus dipertingkatkan pada masa hadapan dengan modul tambahan seperti notifikasi acara, forum alumni, dan paparan profil kejayaan bekas kadet.
“Inisiatif ini juga menyokong Agenda Transformasi Digital Universiti Awam, seiring dengan komitmen UniMAP memperkukuh jaringan alumni serta memperkasakan pembangunan kepimpinan dan sahsiah siswazah.
“Saya yakin dengan pelaksanaan sistem ini, UniMAP kini muncul antara universiti awam terawal yang memperkenalkan penjejakan alumni ROTU secara digital, selaras dengan aspirasi melahirkan siswazah berdisiplin, berwawasan dan terus berbakti kepada universiti serta negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial