KOTA KINABALU, 9 Nov (Bernama) -- Program Rancakkan MADANI Sabah anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Perdana Menteri menjadi wadah penting ke arah memperkukuh kefahaman dan penghayatan terhadap gagasan Malaysia MADANI.
Menurut kenyataan AKM, kefahaman itu berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan tanggungjawab sosial demi membina masyarakat yang bersatu dan negara yang makmur.
Program berkenaan membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan nilai-nilai keadilan, kemampanan dan kesejahteraan benar-benar difahami sekali gus diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat.
"Hal ini termasuk pada peringkat akar umbi dan Sabah mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor seperti pelancongan dan pertanian moden yang mampu menjadikan negeri ini tunjang kekuatan serta pemacu pembangunan negara," menurut kenyataan itu.
Lebih 2,000 peserta terdiri daripada penjawat awam, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, belia dan komuniti setempat menghadiri Program Rancakkan MADANI Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini hari ini.
Program itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Menurut AKM, program berkenaan juga menekankan kepentingan hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah untuk bergerak sebagai satu keluarga bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan secara menyeluruh serta inklusif demi kesejahteraan penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial