AM > BERITA

KTMB Lancar Kad KOMLINK "KTM Komuter x Bichi Mao", Kempen "Kom-Mao-Ter Challenge"

09/11/2025 03:41 PM

IPOH, 9 Nov (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini memperkenalkan Kad Komuter Link (KOMLINK) Edisi Khas “KTM Komuter x Bichi Mao” dan melancarkan kempen interaktif “Kom-Mao-Ter Challenge” bagi mempertingkatkan daya tarikan perkhidmatan tren, khususnya kepada golongan muda. 

Ketua Pegawai Teknikal KTMB merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata inisiatif ini merupakan kolaborasi antara KTMB dengan jenama animasi tempatan Bichi Mao, yang terkenal dengan watak kucing yang comel, bagi menjadikan pengalaman menaiki tren lebih menyeronokkan, interaktif dan mesra keluarga.

"Pelancaran KOMLINK Edisi Khas ini ialah usaha KTMB mendekati semua generasi, terutamanya peminat animasi kucing tempatan, malah kami mahu menjadikan perjalanan menaiki tren sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan boleh dikongsi bersama dengan rakan serta keluarga.

"Usaha itu sejajar dengan aspirasi syarikat untuk menjadikan tren bukan sekadar pengangkutan harian, tetapi juga sebahagian daripada gaya hidup masyarakat masa kini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu di stesen KTM Ipoh, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Tourism Perak Management Berhad Datuk Mohd Kamil Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Zuraida Md Taib.

Ahmad Nizam berkata KTMB turut memperkenalkan tren bertemakan Bichi Mao lengkap dengan rekaan pembalut khas di laluan utara yang menampilkan grafik berwarna-warni serta reka bentuk mesra keluarga.

"Perkhidmatan KTM Komuter Utara yang diperkenalkan pada 2015 dengan hanya kira-kira 500 penumpang sehari, kini mencatat peningkatan kepada lebih 24,000 penumpang sehari.

"Setakat penghujung Oktober 2025, perkhidmatan itu telah membawa sebanyak 40.5 juta penumpang di wilayah utara, malah peningkatan itu menunjukkan tren sebagai pengangkutan awam utama bukan sahaja untuk mereka yang berulang-alik ke tempat kerja, tetapi turut menjadi pilihan pelajar, keluarga dan pelancong domestik bagi meneroka destinasi menarik di utara tanah air," katanya.

Ahmad Nizam berkata kempen itu juga menjadi antara inisiatif awal KTMB dalam menyokong penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan tujuan menarik pelancongan domestik dan antarabangsa melalui perkhidmatan tren yang selesa dan efisien.

"Serentak dengan pelancaran ini, KTMB memperkenalkan cabaran 'Kom-Mao-Ter Challenge'’ yang berlangsung mulai 9 Nov 2025 hingga 31 Jan 2026.

"Untuk menyertai cabaran tersebut, pengguna perlu membeli Kad KOMLINK Edisi Khas KTM Komuter x Bichi Mao berharga RM30.30, sebelum mengembara ke lapan stesen terpilih bagi mengumpul cap setem eksklusif dalam Buku Pasport Kom-Mao-Ter Challenge bagi mendapatkan patung plushie Kom-Mao-Ter edisi terhad yang disediakan di dalam blind box," katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap kolaborasi itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik dan pada masa sama memperkenalkan KTM Komuter Utara sebagai medium perjalanan yang santai dan mesra keluarga.

"Inisiatif ini turut mendapat sokongan Tourism Perak dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) melalui promosi perjalanan menggunakan Bas Perak Hop-On Hop-Off (HOHO) bagi meneroka tarikan pelancongan di sekitar Taiping," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan