MELAKA, 9 Nov (Bernama) -- Malaysian Amateur Radio Transmitters' Society (MARTS) menyeru semua penggiat radio amatur di Malaysia agar mengosongkan aktiviti bagi frekuensi 7.095 MHz yang kini sedang digunakan oleh Philippine Amateur Radio Association (PARA) untuk komunikasi kecemasan susulan ancaman Taufan Fung-wong yang sedang melanda negara itu.
Timbalan Presiden MARTS Zanirul Akhmal Zanirun berkata langkah itu diambil selepas Kesatuan Radio Amatur Antarabangsa (IARU) Wilayah 3 mengeluarkan notis rasmi memohon kerjasama semua stesen radio amatur di rantau ini agar memberikan laluan dan tidak menggunakan frekuensi berkenaan bagi membolehkan trafik kecemasan beroperasi tanpa gangguan.
“Menurut laporan, Suruhanjaya Telekomunikasi Kebangsaan (NTC) Filipina telah mengaktifkan kumpulan radio amatur dan sivik di setiap wilayah bagi membantu komunikasi kecemasan kerajaan, terutama di kawasan yang terputus hubungan akibat taufan.
“Sehubungan dengan itu, penggiat radio amatur di Malaysia digesa memberikan kerjasama penuh dengan menjauhi sebarang aktiviti di frekuensi tersebut dan memberikan keutamaan sepenuhnya kepada PARA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata radio amatur ialah talian hayat ketika krisis dan setiap bantuan kecil yang diberikan oleh komuniti radio amatur boleh membawa impak besar kepada operasi menyelamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial