MELAKA, 9 Nov (Bernama) -- Sebanyak 76 peratus atau 52,526 individu berusia 18 tahun ke atas telah menjalani saringan kesihatan percuma di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang dilaksanakan di Melaka pada tahun ini.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa berkata jumlah itu hampir mencapai sasaran inisiatif berkenaan yang ditetapkan pada tahun ini, iaitu sebanyak 68,870 orang dalam usaha menggalakkan rakyat melakukan saringan kesihatan awal bagi mengesan sebarang penyakit tidak berjangkit seperti diabetis, darah tinggi dan penyakit jantung.
"Berdasarkan statistik yang ada, penduduk daerah Alor Gajah paling ramai melakukan saringan kesihatan, iaitu sebanyak 83 peratus atau 14,663 orang, diikuti Jasin (75 peratus atau 7,449 orang) dan Melaka Tengah (70 peratus atau 36,167 orang).
"Saringan berkenaan boleh dilakukan di semua klinik kesihatan berhampiran selain kaunter kesihatan yang dibuka pada program luar anjuran jabatan kesihatan negeri atau program yang dijemput oleh penganjur lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 yang disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Dr Ruzita berkata NHSI telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan pencapaian pada dua tahun lepas mencatatkan jumlah rakyat Melaka yang melakukan saringan melebihi 100 peratus sekali gus menunjukkan tahap kesedaran mereka terhadap kepentingan saringan awal kesihatan adalah tinggi.
Beliau berkata pada tahun ini, saringan berkenaan terbuka kepada semua individu bermula usia 18 tahun ke atas berbanding pelaksanaannya pada dua tahun sebelum ini yang hanya terbuka kepada individu berusia 35 tahun ke atas.
"Berdasarkan trend kesihatan sejak kebelakangan ini, ramai dalam kalangan individu yang masih muda seawal 18 hingga 29 tahun mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes dan darah tinggi tetapi mereka tidak menyedarinya sehingga melakukan saringan kesihatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial