AM > BERITA

PM Anwar Tegaskan Tidak Pernah Elak Jawab Soalan Ahli Parlimen Pembangkang

11/11/2025 11:41 AM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mengelak daripada menjawab sebarang persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang dalam persidangan Dewan Rakyat.

Anwar berkata semua soalan yang dikemukakan kepada beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) setiap Selasa, iaitu sesi yang diperuntukkan kepada Perdana Menteri, telah dijawab sama ada oleh beliau sendiri atau menteri-menteri berkaitan.

Bagaimanapun, beliau berkata ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang terus mengulangi soalan sama walaupun penjelasan sudah diberikan beberapa kali.

“Soalan yang dibangkitkan semua saya jawab... nak kata saya elak (menjawab soalan), saya tidak elak. Tanyalah apa soalan pun saya tetap jawab,” katanya sebelum menjawab soalan pada sesi MQT di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, sebelum sesi MQT bermula, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan senarai soalan MQT hari ini tidak mengandungi soalan daripada pihak pembangkang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kemudiannya menjelaskan bahawa pemilihan senarai soalan sesi MQT adalah tertakluk kepada pertimbangannya.

Beliau turut mendedahkan bagi senarai MQT hari ini, pihak pembangkang hanya menghantar satu soalan berbanding blok kerajaan yang mengemukakan lapan soalan, malah soalan yang dikemukakan pembangkang adalah soalan yang berulang.

“Jadi sudah tentu saya melihat semua soalan itu dan saya lihat soalan daripada pembangkang semuanya telah pun dijawab. Tidak timbul isu berat sebelah antara kerajaan atau pembangkang.

“… Yang Berhormat, tolong galakkan blok pembangkang untuk hantar lebih banyak soalan,” katanya.

Johari berkata soalan yang dikemukakan pembangkang itu sebenarnya akan dibincangkan secara mendalam oleh Jawatankuasa Pilihan berkaitan Kementerian (JKPK), yang turut dihadiri oleh menteri serta pegawai kanan kerajaan yang akan berlangsung esok.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan