AM > BERITA

75 PBT Terima Penarafan Bandar Pintar - Aiman Athirah

11/11/2025 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) – Sebanyak 75 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara berjaya memperoleh penarafan Bandar Pintar Malaysia 2025, sejajar dengan aspirasi kerajaan menjayakan Negara Pintar menjelang 2040.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata penilaian itu menggunakan indikator Bandar Pintar Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019 iaitu Sustainable Cities and Communities – Indicators for Smart Cities, yang merangkumi 85 indikator utama sebagai asas penarafan.

“Sehingga Oktober lepas, 70 PBT mencapai penarafan tahap satu (Smart City Early Adopter), empat PBT mencapai tahap dua (Developing Smart City), manakala satu PBT berjaya meraih tahap tiga (Leading Smart City),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu sasaran kerajaan agar PBT dapat mencapai penarafan Leading Smart City dan Visionary Smart City

Aiman Athirah berkata selaras dengan kerangka Malaysia Smart City Maturity Journey, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan sasaran supaya PBT mencapai tahap penarafan yang lebih tinggi secara berfasa dan berperingkat.

Beliau berkata selain penganugerahan sijil kepada PBT yang berjaya memperoleh penarafan berkenaan, kerajaan juga memberikan insentif dalam bentuk peruntukan untuk projek bandar pintar kepada PBT. 

"Pada 2024, sejumlah RM5.2 juta disalurkan kepada 25 PBT manakala pada 2025, RM8.8 juta disalurkan kepada 20 PBT. Projek yang dijalankan termasuk membangunkan command center, CCTV, lampu isyarat pintar, lampu jalan pintar, tong sampah pintar, tiang pintar, panic button dan lintasan pejalan kaki pintar,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan