KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan kaedah pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching’ wajar diberi peluang untuk diuji sebelum sebarang penilaian dibuat terhadap keberkesanan dan kesesuaiannya di sekolah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata kaedah pengajaran bersama dua guru dalam satu kelas itu adalah inovasi pendidikan yang tidak wajar dilihat sebagai beban baharu kepada guru, sebaliknya perlu difahami secara menyeluruh.
“Semua berpandangan bahawa semua kelas di semua sekolah akan ada dua orang guru. Sebenarnya pengajaran berpasukan ini akan diperkenalkan untuk murid Tahun Satu dan hanya mata pelajaran Alam dan Manusia.
“Jadi, tidak timbul isu kekurangan guru sebab apabila Alam dan Manusia ini diperkenalkan, ada beberapa mata pelajaran lain dihapuskan seperti Pendidikan Seni Visual, Muzik dan Pendidikan Kesihatan,” katanya dalam rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini mengumumkan kaedah pengajaran berpasukan bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) itu bakal menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter, sekali gus melahirkan generasi pelajar yang bukan saja cemerlang dari segi ilmu tetapi memiliki jati diri kukuh, berdisiplin, beradab dan bernilai moral tinggi.
Sementara itu, Aminuddin berkata inisiatif kerajaan memperkenalkan pembantu guru di sekolah terpilih wajar diperluaskan selepas melihat kesan positif pendekatan itu, yang berjaya mengurangkan beban guru.
Beliau berkata sebanyak 548 pembantu guru kontrak di bawah Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP) telah ditempatkan di lebih 200 sekolah dengan jumlah murid melebihi 1,500 orang.
Usaha itu pertama kali dilaksanakan sebagai sebahagian inisiatif KPM untuk meringankan beban tugas guru dan memastikan warga pendidik itu kekal fokus ketika proses pembelajaran dan pengajaran (PnP) dalam bilik darjah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial