AM > BERITA

Tragedi Bas Gerik: Nurly Shahirah, Fatin Nasrien Terima Ijazah Anumerta Dari UPSI

11/11/2025 04:43 PM

TANJONG MALIM, 11 Nov (Bernama) -- Suasana Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertukar hiba apabila dua nama graduan Nurly Shahirah Azman dan Fatin Nasrien Fadli, diumum untuk menerima ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen ke-27 universiti berkenaan.

Lebih sayu apabila yang melangkah ke pentas bukan dua figura disebut, sebaliknya ibu bapa kedua-dua penuntut yang menerima ijazah bagi pihak anak mereka yang terkorban dalam nahas bas persiaran di Gerik pada 9 Jun lepas.

Nurly Shahirah dan Fatin Nazrien merupakan antara 15 penuntut UPSI yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik ketika dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti perayaan.

Canselor UPSI Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan ijazah anumerta kepada Azman Mohamad, 63, bapa kepada arwah Nurly Shahirah dan Fadli Abd Rahman, 50, bapa kepada arwah Fatin Nasrien.

Tuanku Zara kelihatan sebak dan mengesat air mata sejurus menyerahkan ijazah berkenaan, sambil menonton tayangan montaj khas mengenang tragedi tersebut yang menyentuh hati para hadirin di dalam dewan.

Azman ketika ditemui berkata dia tidak dapat menahan sebak menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) sejurus nama anaknya disebut.

“Saya bangga dan pada masa sama sebak apabila diumumkan nama anak saya untuk naik ke pentas, perasaan sayu, sedih dan gembira semua bercampur baur.

"Sebagai seorang ayah, hati mana tidak sedih apabila saya berharap anak yang naik ke pentas tetapi berlaku sebaliknya. Inilah aturan Allah SWT dan kami reda," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, dekat sini hari ini.

Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis berkenaan dan mengurniakan skrol kepada penerima pada istiadat berkenaan.

Fadli pula berkata Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) yang sepatutnya digenggam Fatin Nasrien, menjadi simbol penghargaan tertinggi terhadap usaha dan ketekunan arwah anaknya, yang merupakan harapan keluarga.

“Kami apabila mendapat perkhabaran UPSI mahu memberi anumerta, memang keluarga amat gembira namun pada masa sama sebak mengenangkan arwah anak kami.

"Fatin Nasrien merupakan anak sulung dan sudah tentu menjadi harapan besar keluarga kami khususnya kepada empat lagi adiknya," katanya.

Fadli turut melahirkan rasa bersyukur atas pengiktirafan diberikan oleh pihak universiti kepada arwah anaknya itu.

Konvokesyen kali ini meraikan 7,173 graduan yang akan berlangsung hari ini hingga 18 Nov membabitkan lapan sesi.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak  5,160 membabitkan pelajar prasiswazah iaitu 693 graduan Diploma dan 4,467 graduan Ijazah Sarjana Muda.

Sebanyak 2,013 graduan pascasiswazah pula merangkumi 247 Doktor Falsafah, 793 Sarjana, 973 Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah serta 198 graduan antarabangsa turut diraikan dalam istiadat kali ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan