AM > BERITA

Keselamatan Jalan Raya: Perlukan Tindakan Bersama-sama, Bukan Berasingan - Ahmad Zahid

11/11/2025 07:00 PM

SEPANG, 11 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua kementerian, agensi, industri dan komuniti untuk menghentikan amalan bekerja secara berasingan sebaliknya bekerjasama secara kolektif, bagi memastikan keselamatan jalan raya di Malaysia terus dipertingkat.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya berkata keputusan yang dibuat pada peringkat nasional, mesti diterjemahkan kepada perlindungan sebenar di lapangan.

“Kita tidak boleh bekerja secara berasingan. Keselamatan jalan raya bukan dan tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab satu kementerian sahaja. Ia memerlukan penyelarasan, akauntabiliti dan tanggungjawab bersama di seluruh peringkat kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Kongress Keselamatan Jalan Raya 2025 bersempena Ekspo Pengangkutan Asia (TXA), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Ahmad Zahid berkata Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030, yang menyasarkan pengurangan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang akhir dekad ini, memerlukan lebih daripada sekadar penambahbaikan infrastruktur dan penguatkuasaan.

“Ia menuntut satu transformasi budaya yang menilai aspek berhati-hati, bertanggungjawab dan prihatin,” katanya.

Ahmad Zahid berkata dalam usaha menjadikan strategi itu satu kenyataan bermakna mereka bentuk jalan raya yang lebih selamat bagi mengurangkan kesan ralat manusia, menguatkuasakan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, serta memupuk budaya yang melihat keselamatan bukan sebagai sekatan, tetapi sebagai tanda kekuatan dan kematangan.

Beliau berkata antara keutamaan kerajaan ketika ini termasuklah memperkukuh keselamatan kenderaan berat melalui pemasangan tali pinggang keledar yang berfungsi, pemasangan had kelajuan automatik, penambahbaikan standard rehat dan latihan, serta pelaksanaan pemantauan telematik bagi meningkatkan akauntabiliti.

“Kita sedang menambah baik kawasan sekolah dan kemudahan pejalan kaki, menangani kawasan berisiko tinggi serta memperhebat penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu laju dan muatan berlebihan.

“Namun, tindakan kerajaan sahaja tidak mencukupi. Keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama. Ibu bapa mesti menunjukkan teladan amalan selamat. Guru perlu memupuk nilai tersebut sejak dari awal, manakala majikan harus menyokong pemanduan yang berhemah.

“Pihak berkuasa tempatan perlu mereka bentuk persekitaran yang melindungi orang ramai. Industri pula perlu berinovasi dengan tujuan yang jelas. Apabila setiap lapisan masyarakat memainkan peranan masing-masing, kita membina satu budaya yang menghargai nyawa dan saling melindungi antara satu sama lain,” katanya.

Ahmad Zahid berkata usaha untuk mengurangkan separuh daripada kadar kematian di jalan raya memerlukan lebih daripada sekadar infrastruktur dan penguatkuasaan, ia menuntut kepada perubahan budaya.

“Cara hidup rakyat Malaysia ialah dengan menghargai sikap berhati-hati, tanggungjawab dan keprihatinan. Budaya dibentuk bukan sahaja oleh undang-undang, tetapi juga oleh tabiat, cara kita menunggang motosikal, cara kita memandu dan cara kita saling menjaga antara satu sama lain.

“Ia bermula di rumah, dengan ibu bapa menjadi teladan. Ia berkembang di sekolah, tempat nilai-nilai ini disemai. Ia tersebar dalam komuniti, dengan rakan-rakan saling mengingatkan agar menunggang dengan selamat,” katanya.

Ahmad Zahid turut menekankan keperluan untuk melibatkan golongan belia dan masyarakat melalui pendidikan moden berasaskan teknologi, dengan menggunakan realiti terimbuh, elemen permainan digital dan alat kecerdasan buatan (AI), bagi menjadikan pembelajaran keselamatan jalan raya lebih interaktif dan relevan.

“Kita mesti melangkah lebih jauh. Kita perlu menggalakkan penubuhan kelab keselamatan yang dikendalikan pelajar, kempen mikro di kampus, kerjasama dengan pempengaruh, serta duta digital yang mampu menyampaikan mesej keselamatan jalan raya mengikut bahasa generasi mereka.

“Apabila kita mendidik dengan berani, berkomunikasi dengan kreatif dan mempercayai belia Malaysia untuk memimpin, kita bukan sahaja akan mengubah tingkah laku, tetapi juga memupuk satu generasi yang menghargai nyawa, menghormati keselamatan dan membawa misi ini dengan penuh keyakinan,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengajak semua pihak untuk mengulangi komitmen untuk memperkukuh penguatkuasaan, memperbaiki infrastruktur, memberdayakan belia dan memastikan keselamatan menjadi panduan dalam setiap keputusan yang diambil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan