AM > BERITA

Cikgu E Meninggal Dunia Selepas Bertarung Melawan Kanser

11/11/2025 10:40 PM

IPOH, 11 Nov (Bernama) -- Bekas guru Nassry Mardee Ismail, 45, atau lebih mesra disapa Cikgu E yang melawan tiga jenis kanser iaitu kanser buah pinggang, kanser kelenjar dan kanser paru-paru sejak Mac 2024 meninggal dunia pada 4.35 petang ini.

Perkhabaran duka itu dimaklumkan anaknya Nassrul Hakeem menerusi satu catatan di laman Facebook bapanya itu Nassry Mardee Ismail IV.

“Nassry Mardee Bin Ismail dah meninggalkan kita semua. Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” menurut catatan itu.

Sebelum ini, arwah Cikgu E pernah memuat naik satu kemas kini yang mungkin menjadi catatan terakhir beliau di laman Facebook memaklumkan pernafasannya semakin tidak teratur apabila nafas terasa pendek selain dada semakin sempit.

Melalui catatan itu, beliau menyedari nikmat paling besar dalam kehidupan adalah dengan mampu bernafas iaitu suatu perkara yang sering dilupakan oleh orang ramai apabila alpa untuk mensyukuri nikmat itu.

“Andai inilah detik-detik terakhir yang Allah pinjamkan, saya ingin gunakan kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf kepada semua yang pernah mengenali saya.

“Jika sepanjang perjalanan hidup saya ada tutur kata yang menyinggung, ada tulisan yang menyakitkan hati, ada perlakuan yang tidak sepatutnya, sama ada secara sengaja atau tidak, saya mohon diampunkan semuanya. Halalkan makan minum saya, halalkan ilmu dan jasa yang pernah kita kongsi bersama,” menurut catatan itu.

Arwah Cikgu E juga sempat memuat naik catatan reda bukan bermakna berhenti berharap tetapi menerima segala ketentuan Allah dengan hati yang yakin bahawa setiap ujian itu adalah bentuk kasih sayang-Nya.

Allahyarham Cikgu E pernah memohon supaya kenalan serta keluarganya tidak menangisi pemergian beliau tetapi cukup dengan mengirimkan doa dan menyedekahkan al-Fatihah, selain meneruskan hidup dengan kasih serta kebaikan.

“Terima kasih kepada semua yang pernah hadir dalam hidup saya sebagai sahabat, saudara, guru atau sekadar peneman di ruang maya ini. Semoga setiap kebaikan kalian Allah gandakan ganjarannya di sisi-Nya," menurut catatan itu.

Pada 2 Nov lepas, Bernama melaporkan walaupun dimaklumkan hanya mempunyai 30 peratus baki saluran pernafasan masih berfungsi, Cikgu E enggan menyerah kalah melawan kanser paru-paru tahap empat yang dihidapinya.

Bapa kepada tiga cahaya mata perempuan dan dua lelaki berusia antara lapan tahun hingga 19 tahun itu sebelum ini berkata beliau hanya mampu menghabiskan masanya 24 jam dalam keadaan duduk serta bergantung kepada bantuan oksigen.

Sementara itu jenazah Allahyarham Nassry Mardee, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya 9, malam ini. 

Terdahulu jenazah dikafankan dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar Meru Impian, selepas solat Maghrib.

Ribuan orang ramai termasuk saudara mara dan sahabat handai menyertai solat jenazah dan menghantar jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan, bagi memberikan penghormatan terakhir. 

Nassry Mardee meninggalkan seorang balu dan lima orang anak. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan