AM > BERITA

Kerajaan Pertimbang Kembalikan Subsidi Diesel Nelayan Zon C2

11/11/2025 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengembalikan semula pemberian subsidi diesel kepada nelayan Zon C2 yang telah dihentikan sejak 2019 selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata dasar itu turut menyaksikan pengurangan kuota diesel di bawah Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan daripada 80 juta liter kepada 70 juta liter.

Bagaimanapun, Arthur berkata kerajaan kekal prihatin terhadap kebajikan nelayan serta memahami cabaran operasi yang dihadapi oleh pemilik vesel Zon C2.

“Pertimbangan untuk mengembalikan semula pemberian subsidi kepada kumpulan ini masih dibincangkan di peringkat tertinggi, dengan mengambil kira keperluan penelitian menyeluruh terhadap implikasi fiskal dan dasar sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Arthur berkata KPKM juga sedang melaksanakan pemetaan digital berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi memperkukuh pengurusan sumber air pertanian di semua jelapang padi di negara ini melalui integrasi data daripada Kajian Pengurusan Sumber Air Pertanian dengan kerjasama Pusat Geospatial Negara. 

Beliau berkata projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2026 dan akan menjadi asas kepada pembangunan pangkalan data bersepadu bagi infrastruktur pertanian di seluruh negara, sekali gus menjadi langkah penting ke arah pengurusan sumber air yang moden, cekap dan berimpak tinggi.

Arthur berkata ketika ini pemodenan infrastruktur pengairan dan saliran pertanian di kawasan jelapang dan luar jelapang dilaksanakan melalui sistem automasi dan sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air pertanian.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan pengurusan dan pembangunan berjumlah RM6,868,552,800 yang diperuntukkan kepada KPKM dalam Belanjawan 2026 dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 23 Ahli Parlimen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan