AM > BERITA

Kerajaan Tidak Akan Rayu Keputusan Pemberian Khas 40 Peratus Hasil, Rundingan Dengan Sabah Dimulakan - AGC

11/11/2025 08:10 PM

PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan berhubung Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil kepada Negeri Sabah seperti yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memaklumkan bahawa sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam kadar segera.

“Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan hari ini membincangkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah terhadap Kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut AGC, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas 40 peratus hasil yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pada mesyuarat sama, Peguam Negara turut memberi nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung beberapa kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut, termasuk dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan yang dikatakan membabitkan kedua-duanya sejak tahun 1974.

Selain itu, AGC memaklumkan bahawa alasan penghakiman telah menyatakan kajian semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional dan tidak berkadaran.

“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut,” menurut kenyataan itu.

Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tahun 1974 hingga 2021.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai "tidak sah, ultra vires dan tidak rasional" serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.

Perintah itu menetapkan supaya semakan dibuat dalam tempoh 90 hari manakala persetujuan bersama antara kedua-dua pihak perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan