AM > BERITA

Kerajaan Tubuh Kumpulan Kerja Khas Kaji Hala Tuju Hukuman Mati - Kulasegaran

13/11/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang menubuhkan satu kumpulan kerja khas untuk meneliti kedudukan dan hala tuju hukuman mati di Malaysia, termasuk kemungkinan penghapusan sepenuhnya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.

Beliau berkata kumpulan kerja itu akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah Malaysia (CLRC) dan melibatkan pihak kerajaan, badan peguam, akademik, pakar undang-undang jenayah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Tujuan utama kajian ini adalah untuk memastikan sebarang keputusan kerajaan mengenai kedudukan hukuman mati di Malaysia dibuat berasaskan bukti.

“Kajian ini akan merangkumi penyelidikan doktoral, sesi libat urus holistik, serta pandangan pakar undang-undang jenayah tempatan dan antarabangsa, termasuk ahli keluarga mangsa dan banduan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menghapuskan hukuman mati secara keseluruhannya dalam masa terdekat dan sama ada kajian sewajarnya akan dijalankan bagi tujuan itu.

Kulasegaran berkata langkah menubuhkan kumpulan kerja khas itu ialah kesinambungan daripada reformasi perundangan yang dilaksanakan melalui Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 [Akta 846] yang memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan jenayah serta memperkenalkan budi bicara kehakiman dalam menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan 30 hingga 40 tahun.

“Satu mekanisme semakan hukuman mati turut diwujudkan melalui Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan 2023 [Akta 847], memberikan ruang kepada banduan sebelum ini memohon semakan di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata hukuman mati masih kekal dalam sistem perundangan Malaysia bergantung pada budi bicara hakim setelah mengambil kira fakta dan keadaan kes, manakala moratorium pelaksanaan hukuman mati yang dipersetujui kerajaan pada 2018 masih berkuat kuasa sehingga keputusan dasar muktamad ditentukan.

Kerajaan juga katanya, berpendirian bahawa penghapusan hukuman mati sepenuhnya memerlukan penelitian lanjut, mengambil kira keseimbangan antara kepentingan awam, keadilan kepada mangsa dan prinsip hak asasi manusia.

Kulasegaran berkata kajian itu dijangka bermula pada Januari tahun depan dan dirancang berjalan selama empat bulan, namun tempoh itu boleh dilanjutkan jika perlu.

Beliau berkata setakat Selasa lepas, terdapat 97 banduan hukuman mati termasuk 38 yang menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, sembilan menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan 50 yang telah melalui semua peringkat rayuan serta boleh memohon pengampunan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkenaan hala tuju Malaysia berbanding negara lain seperti Filipina, Thailand dan Indonesia, Kulasegaran berkata dasar kerajaan adalah untuk menjalankan penelitian sedalam-dalamnya selepas satu keputusan dibuat, termasuk tempoh moratorium sejak 2018, untuk memastikan sebarang tindakan diambil secara komprehensif dan berasaskan bukti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan