KUANTAN, 14 Nov (Bernama) -- Operasi perkhidmatan bas Rapid Kuantan yang dikendalikan oleh Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) sejak November 2012 bakal tamat sepenuhnya pada 14 Dis.
Menurut kenyataan Rapid Bus hari ini, perkhidmatan bas henti-henti di Kuantan akan diambil alih oleh Sanwa Tours (M) Sdn Bhd (Sanwa Tours), pengendali Bas.My Kuantan di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan bas di bandar raya Kuantan.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan, Rapid Kuantan membawa lebih 28 juta penumpang dengan purata kira-kira 6,000 penumpang setiap hari dan pernah mencatat purata harian tertinggi melebihi 15,000 penumpang,” menurut kenyataan itu.
Rapid Bus turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, pihak berkuasa tempatan, rakan strategik serta seluruh warga Kuantan atas sokongan tidak berbelah bahagi sejak penubuhan Rapid Kuantan.
“Rapid Bus menzahirkan penghargaan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan dan berharap orang ramai akan terus memilih pengangkutan awam sebagai cara hidup yang lestari,” menurut kenyataan itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria berkata pihaknya menghargai setiap penumpang yang telah bersama Rapid Kuantan sejak 2012, selain dukungan masyarakat menjadi pemangkin semangat untuk Rapid Bus memperkukuh sistem pengangkutan awam di Malaysia.
“Kami (Rapid Bus) berharap orang ramai akan terus menyokong dan menggunakan perkhidmatan Bas.My Kuantan di bawah kendalian Sanwa Tours,” katanya.
Bermula 15 Dis, sebarang pertanyaan berkaitan operasi dan jadual perkhidmatan Bas.My Kuantan boleh dikemukakan terus kepada APAD melalui e-mel, pertanyaan_ispkp@apad.gov.my atau talian 03-2603 6700.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial