AM > BERITA

Penamaan Calon PRN Sabah Hari Ini, Kempen Menangi Hati Pengundi Bermula

15/11/2025 07:13 AM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Medan pertarungan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 membuka gelanggangnya hari ini dengan proses penamaan calon di 25 lokasi bagi merebut 73 kerusi yang dipertandingkan. 

Tempoh satu jam diberikan iaitu dari 9 hingga 10 pagi untuk penyerahan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) mengumumkan senarai calon yang layak bertanding.

Calon kemudiannya mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan pengundi, iaitu sehingga 11.59 malam pada 28 Nov ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti politik yang bertanding serta penyokong supaya bersama-sama memastikan ketenteraman awam semasa proses penamaan calon hari ini termasuk mengelakkan sebarang bentuk provokasi.

Bagi melancarkan PRN17 Sabah, SPR telah melantik 25 RO dibantu oleh 196 Penolong Pegawai Pengurus dan 33,002 petugas.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata 15 lokasi panas dikenal pasti memerlukan kawalan keselamatan rapi pada PRN ini dengan tumpuan khusus di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dan pantai timur.

Beliau berkata 9,300 pegawai dan anggota polis ditempatkan di seluruh negeri termasuk pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Pasukan Penggempur Ringan (LSF) atau Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di kawasan tertentu.

Penempatan itu termasuk penugasan 4,300 pegawai dan anggota di 25 pusat penamaan calon di seluruh negeri hari ini bagi mengawal trafik selain pemantauan terhadap bangunan pentadbiran dan Istana Seri Kinabalu. 

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 Nov dan hari pengundian pada 29 Nov.

Sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.

Setakat 10 malam tadi, PKR telah mengumumkan 10 calon dan DAP tujuh, yang kesemuanya bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Barisan Nasional (BN) pula yang melibatkan UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan seorang calon langsung akan bertanding di 45 DUN. 

 Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan akan bertanding di 55 DUN terdiri daripada calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Parti Warisan (Warisan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Impian Sabah masing-masing mengumumkan bertanding di semua 73 DUN, Perikatan Nasional (41 DUN) manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing 40 DUN.

Sementara itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan bertanding di 25 kerusi DUN, Parti Kerjasama Anak Negeri (26 calon), Parti Maju Sabah (SAPP) (enam DUN) dan 17 lagi calon Bebas yang bergerak atas nama Gelombang Hitam (Black Wave) turut bertanding pada PRN ke-17.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan