AM > BERITA

Anwar Sambut Baik Komitmen Kemboja-Thailand Laksana Perjanjian Damai KL

15/11/2025 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kesediaan dan komitmen dizahirkan Kemboja dan Thailand untuk meneruskan dialog serta usaha diplomatik bagi memastikan pelaksanaan penuh Perjanjian Damai Kuala Lumpur serta pemulihan keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Anwar menerusi hantaran Facebook turut mengalu-alukan komitmen Kemboja dan Thailand untuk memastikan penarikan senjata dan peralatan berat, di samping menyelaras dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan periuk api kemanusiaan di kawasan sempadan dengan segera.

“Saya turut menyambut baik jaminan daripada Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul untuk mengelak sebarang tindakan yang dianggap provokatif serta mengambil tindakan lanjut untuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan bersama ke arah memajukan pemulihan hubungan dua hala yang produktif antara kedua-dua negara,” kata beliau.

Pada masa sama, Anwar turut menghargai peranan proaktif dan penglibatan konstruktif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam menggalakkan penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlarutan.

Pada Isnin, media antarabangsa melaporkan Ketua Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja susulan insiden letupan periuk api di sempadan kedua-dua negara, sekali gus meningkatkan semula ketegangan selepas berlaku pertempuran pada Julai lepas.

Empat anggota tentera Thailand dilaporkan cedera selepas periuk api jenis PMN-2 meletup ketika mereka melakukan rondaan di Wilayah Sisaket, dengan seorang daripadanya kehilangan kaki kanan.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur telah ditandatangani Anutin dan Hun Manet dengan disaksikan Anwar dan Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Okt lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan