AM > BERITA

Kerajaan Pahang Harap Caj Jalan Genting Highlands Ambil Kira Kepentingan Penduduk

15/11/2025 08:40 PM

ROMPIN, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pahang berharap sebarang caj dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands kelak mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Razali Kassim berkata pihak terbabit juga disaran memberi perhatian khusus kepada kebajikan dan komuniti pekerja di kawasan berkenaan.

“Ini termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dan penduduk yang melalui kawasan itu setiap hari,” katanya selepas merasmikan bas ekspres baharu Sanwa Tours (M) Sdn Bhd di Terminal Sentral Muadzam Shah di sini hari ini.

Sebelum ini, Genting Malaysia Bhd mengesahkan akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan sebaik sahaja butiran lanjut mengenai bayaran bagi jalan persendirian ini (Caj Jalan Persendirian) tersedia.

Mengulas lanjut, Razali berkata jalan terbabit bukan jalan Persekutuan atau negeri, sebaliknya dibina dan diselenggara oleh pihak Genting. 

Semalam,  Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di laman Facebook turut memaklumkan berdasarkan semakan awal kementeriannya serta maklumat yang diterima, laluan yang dimaksudkan bukan jalan Persekutuan, sebaliknya terletak di atas tanah milikan persendirian.

Nanta bagaimanapun berkata aspek keselamatan, standard teknikal dan pematuhan kawal selia bagi mana-mana laluan seperti itu adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pahang melalui Majlis Perbandaran Bentong, dan buat masa ini kementerian itu tidak mempunyai kuasa perundangan ke atas laluan berkenaan.

Isu caj ke atas pengguna yang memasuki Jalan Genting menjadi perhatian dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat pada minggu ini. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan