AM > BERITA

PM Anwar Faham Keluhan Gaji Rendah Pengamal Media

16/11/2025 01:35 PM

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau memahami keluhan pengamal media yang masih menerima gaji rendah, terutamanya  di Sabah, biarpun ramai dalam kalangan mereka telah berkhidmat lebih sedekad.

Bercakap pada majlis Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama Perdana Menteri pagi ini, Anwar berkata beliau terkejut keadaan sedemikian masih berlaku, sedangkan ia tidak sepatutnya terjadi memandangkan kos sara hidup meningkat serta sebahagian syarikat media meraih keuntungan.

“Media sekarang tidak seperti dahulu kerana persaingan dengan media sosial sangat tinggi. Tetapi saya fikir, jika seseorang telah bekerja 10 tahun, wajar mendapat gaji yang lebih adil. Saya simpati dan akan berusaha untuk meyakinkan pihak media supaya memberikan imbuhan yang lebih saksama.

“Beberapa syarikat media berdaftar memperoleh keuntungan yang cukup besar, jadi tiada alasan untuk gaji wartawan tetap rendah. Saya terkejut apabila mendapat tahu, ada pengamal media berkhidmat 10 tahun, namun gaji hanya sekitar RM2,000. Itu memang tidak boleh diterima,” katanya.

Justeru, beliau meminta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, menyediakan laporan menyeluruh mengenai keadaan gaji wartawan, khususnya di Sabah, serta mencadangkan langkah penyelesaian terbaik termasuk kemungkinan menyalurkan insentif kepada syarikat media bagi tujuan menaikkan gaji atau elaun wartawan.

Menjelaskan lanjut, Anwar berkata kerajaan telah menetapkan gaji minimum RM3,100 bagi pekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah dan Petronas, manakala pekerja baharu sektor kerajaan juga tidak boleh menerima gaji kurang daripada RM2,000.

Langkah itu, menurut beliau, menjadi isyarat kepada sektor swasta agar menilai semula struktur gaji masing-masing memandangkan harga barangan dan kos sara hidup terus meningkat.

Terdahulu, pada sesi soal jawab majlis tersebut, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil, menyuarakan keluhan rakan-rakan media di Sabah yang masih menerima gaji rendah terutama yang menerima bayaran mengikut tugasan harian.

Mengenai kebebasan media, terutama sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Anwar menegaskan media mempunyai hak untuk mengkritik, namun harus bersikap adil dengan menyiarkan sebarang jawapan balas daripada kerajaan.

“Kadang-kadang masalahnya, serangan dibuat, tetapi apabila kita menjawab, ia dipadamkan, kemudian hanya pandangan diberikan. Itu tidak adil, tetapi kita tidak ada kuasa mengarahkan media,” katanya.

Anwar menekankan prinsip kebebasan media menuntut ruang yang sihat dan seimbang untuk semua pihak, termasuk kerajaan, pembangkang dan masyarakat, terutamanya dalam era media sosial yang kini jauh lebih berpengaruh.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarang Daily Express Datuk James Sarda, Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui, Ketua Editor The Borneo Post Datuk Chiu Nai Wen, dan Ketua Pengarang See Hua Daily News Toh Chee Kong.

Sebelum ini, Tabung Kasih@HAWANA yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Bernama telah memanfaatkan seramai 31 pengamal media di Sabah.

Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, yang dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 menjadi wadah keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menzahirkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap sumbangan pengamal media, dan sehingga kini seramai 555 telah menerima sumbangan.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan