AM > BERITA

Agrobank Perkasa Digitalisasi Di Kampung Warna Warni Melalui Inisiatif Tanpa Tunai

16/11/2025 03:08 PM

KANGAR, 16 Nov (Bernama) -- Agrobank hari ini melancarkan Program Cashless Agrobank di Kampung Warna Warni, Kuala Perlis dekat sini yang merupakan inisiatif untuk memudahkan urus niaga tanpa tunai dan menyokong agenda pendigitalan negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan pelancaran itu. 

Agrobank dalam kenyataan memaklumkan pelancaran program itu bertujuan memudahkan urus niaga melalui penggunaan DuitNow QR Agrobank serta menggalakkan peniaga kecil dan komuniti setempat beralih kepada pembayaran secara digital.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata program itu seiring dengan agenda nasional serta usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperluas penggunaan pembayaran digital yang selamat dan efisien.

“Setakat ini, 90 peratus peniaga di Kampung Warna Warni telah beralih kepada penggunaan QR Agrobank,” katanya dalam kenyataan sama.

Pada majlis pelancaran itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan Lorong Agrobank yang merupakan inisiatif membaik pulih kawasan sekitar Kampung Warna Warni.

Agrobank memaklumkan inisiatif itu merangkumi penghasilan dua mural, penaiktarafan beberapa rumah serta tembok dan pagar di kawasan sekitar, pemasangan payung penjaja serta pembaikan taman permainan kanak-kanak.

“Usaha ini diharap dapat memacu kegiatan ekonomi setempat dan meningkatkan daya tarikan Kampung Warna Warni sebagai destinasi agropelancongan,” menurut Agrobank.

Agrobank memaklumkan melalui gabungan pendigitalan pembayaran, penglibatan komuniti dan usaha membaik pulih kawasan setempat, pihaknya komited menyediakan platform lebih kondusif bagi pembangunan ekonomi serta komuniti luar bandar.

“Langkah ini mengukuhkan mandat Agrobank sebagai institusi kewangan pembangunan (DFI) dalam memodenkan ekosistem pertanian dan meningkatkan kemampanan komuniti agro,” menurut Agrobank.

Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis merupakan inisiatif Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta korporat.

Ia bagi melaksanakan penambahbaikan menyeluruh untuk kampung berkenaan, selaras dengan inisiatif penempatan di bawah pelan tindakan agihan holistik MAIPs 2.0.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai daripada MAIPs dan Agrobank kepada 10 penerima.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan