KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyantuni pelakon veteran tempatan Sabah Ejin Dinting dalam Program Ziarah Seni MADANI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di kediaman artis itu di Manggatal, dekat sini.
Ejin, 77, pernah bergiat aktif di pentas lakonan menerusi 11 naskhah drama terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) antaranya Angan Si Nonong, Cinta Yang Tertinggal, Jimmy Sompoton, Kulaut, Pangazou, Bukan Unduk Ngadau dan Demi Si Aki.
Selain itu, Ejin turut menampilkan bakat lakonannya dalam sebuah filem berbahasa Dusun, ‘Sinakagon’ arahan Timothy Stephen.
Dalam kunjungan itu, Teo menyampaikan bantuan kewangan dan barangan keperluan asas kepada pelakon veteran berkenaan.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sinergi Industri FINAS Wan Noor Zazreena Wan Zaizodin dan Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah Chester Pang.
Teo dalam kenyataan selepas kunjungan itu berkata sebanyak 224 penggiat industri telah menerima bantuan daripada inisiatif Ziarah Seni MADANI FINAS setakat ini, dengan enam daripadanya di Sabah.
Beliau berkata FINAS telah menghulurkan bantuan kepada 167 penggiat seni setakat semalam, sekali gus melepasi sasaran tahunannya.
Teo berkata penggiat seni tempatan yang memerlukan bantuan Ziarah Seni MADANI FINAS boleh menghubungi Unit Sinergi Industri dan Jawatankuasa Kebajikan FINAS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial