AM > BERITA

Sektor Korporat Diseru Bantu Perkasa Ekonomi Komuniti Setempat

16/11/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Sektor korporat diseru tampil membantu memperkasakan pembangunan ekonomi komuniti setempat, termasuk di kawasan bandar bagi memastikan kesejahteraan mereka.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program seperti YSD SEPAKAT yang diperkenalkan hari ini, bukan sahaja menawarkan sokongan kewangan dan peluang menambah pendapatan tetapi turut menyediakan bengkel kepimpinan serta latihan digital kepada golongan belia.

Program itu hasil kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) dan Kementerian Kewangan.

“Program ini juga menggabungkan mentorship dan kepakaran rakan projek YSD berpengalaman yang akan membantu meningkatkan kemahiran mengurus projek berimpak tinggi dan memastikan tadbir urus persatuan penduduk yang baik,” katanya. 

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika merasmikan program YSD SEPAKAT dan Hari Bersama Komuniti di sini hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif YSD Dr Yatela Zainal Abidin serta Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Nor Sam Alwi.

SEPAKAT merujuk kepada Solidariti, Empati, Pimpinan, Aspirasi, Komuniti, Amanah dan Tadbir urus.

Selain itu, isteri Perdana Menteri berkata Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia, Perumahan Awam Seri Sabah 3A, dan Flat Sri Melaka terpilih sebagai perintis penerima sokongan di bawah YSD SEPAKAT yang bertujuan untuk merancakkan lagi kegiatan mikroekonomi penduduk.

“Kejayaan mereka diharap menjadi contoh dan pemangkin kepada lebih banyak persatuan penduduk lain untuk turut serta dalam program ini pada masa akan datang. 

“Saya juga berharap manfaat ini dapat diperluaskan kepada semua penduduk supaya kita saling membantu dan sama-sama berdaya saing, menjadikan PPR sebuah hab komuniti yang positif,” katanya.

Pada perkembangan lain, Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM18,500 kepada 46 penduduk Kampung Malaysia Tambahan dan Kampung Malaysia Raya yang terjejas akibat kejadian ribut pada bulan lepas.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan