PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlakunya satu kluster baharu mpox membabitkan empat sekeluarga, dengan kes indeks merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Barat.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pesakit mula bergejala pada 20 Okt lepas dan disahkan positif mpox (Clade II) pada 12 Nov.
Susulan pengesanan kes indeks, menurut kenyataan itu tiga ahli keluarga serumah turut mula bergejala bermula 30 Okt dan disahkan positif mpox (Clade II) pada 13 Nov.
"Kesemua kes berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pengasingan di rumah. Semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring, dan diarahkan menjalani pengasingan.
"Sehingga kini, hasil siasatan mendapati penularan hanya terhad dalam kalangan ahli keluarga dan situasi kluster adalah terkawal," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan setakat minggu epidemiologi ke-46 (ME 46/2025), sebanyak 12 kes mpox telah dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes mpox di Malaysia adalah sebanyak 23 kes sejak kes pertama dikesan pada Julai 2023.
Menurut kenyataan itu, daripada keseluruhan kes terbabit, 22 kes adalah jangkitan mpox Clade II, manakala satu kes melibatkan Clade Ib.
Menurut KKM, kesemua kes berjaya dibendung melalui pengesanan awal, pengasingan pesakit, dan pemeriksaan kontak rapat serta tiada penularan lanjut dikesan dalam komuniti.
"Memandangkan penularan mpox masih berlaku, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko, KKM menyarankan agar orang ramai terus mengamalkan langkah pencegahan, termasuk mengelakkan sentuhan langsung dengan individu yang bergejala atau disyaki dijangkiti mpox.
"Dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala seperti demam, ruam lepuh serta bengkak kelenjar limfa, termasuk menjalani ujian sekiranya diarahkan oleh pegawai perubatan," menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, walaupun status mpox sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) telah diisytiharkan tamat pada 5 Sept lepas, kementerian akan terus memantau situasi mpox di dalam dan di luar negara dari semasa ke semasa, serta melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan secara berterusan.
Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus monkeypox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus.
Gejala mpox ialah demam berserta ruam atau lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.
Penularan mpox berlaku terutamanya melalui sentuhan rapat dengan individu yang dijangkiti dan jangkitan boleh merebak apabila seseorang menyentuh ruam atau lepuh pada kulit pesakit, melalui hubungan seksual, atau melalui permukaan dan objek yang tercemar dengan cecair badan pesakit.
Penyakit mpox boleh menjadi lebih serius bagi kanak-kanak, wanita hamil, dan individu berimuniti rendah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial