AM > BERITA

RISDA Tumpu Tingkat Sistem Penyampaian Maklumat Kepada Pekebun Kecil - Pengerusi

16/11/2025 10:51 PM

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian maklumat kepada golongan sasar, kata Pengerusi RISDA Manndzri Nasib.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan segala maklumat pembangunan dapat disampaikan secara efektif dan efisien, selain membolehkan pekebun kecil benar-benar memahami semua peluang disediakan untuk mereka.

“Melalui program pendampingan di setiap kawasan, pegawai RISDA akan menyebarkan amalan pertanian baik, memberi pendedahan kepentingan penjagaan kebun secara optimum serta memastikan setiap program dilaksanakan mengikut petunjuk prestasi utama yang telah ditetapkan.

“Usaha ini penting bagi memastikan penghasilan getah dapat ditingkatkan dan seterusnya menambah pendapatan pekebun kecil,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Santuni Pekebun Kecil Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Meor Ismail Meor Akim dan Ketua Pengarah RISDA Zainal Azni Zulkifli.

Manndzri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Zahid atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan kepada RISDA.

Beliau berkata RISDA kini sedang menyusun langkah ke arah menjadi pembeli getah utama negara dan Sabah turut berada di landasan tepat inisiatif itu melalui usaha yang diinspirasikan oleh Ahmad Zahid dalam usaha menjayakan gagasan Aspirasi Desa MADANI.

“RISDA yakin keluasan tanaman getah dan produktiviti ladang serta pendapatan pekebun kecil di Sabah akan dapat terus ditingkatkan dari semasa ke semasa menerusi penyampaian maklumat cekap, bantuan tersusun dan amalan agronomi baik.

“Sejak 2010, RISDA terus komited memainkan peranan penting dalam memastikan sektor pekebun kecil getah di Sabah berkembang secara mampan,” katanya.

Beliau berkata ia dapat dilihat menerusi keseriusan agensi itu dalam melengkapkan rantaian ekosistem pembangunan desa dan industri getah daripada pembangunan ladang, peningkatan produktiviti dan ekonomi kepada kesejahteraan sosial komuniti.

“Usaha ini bukan sahaja menggerakkan industri getah Sabah, malah menjadi perangsang kepada pertumbuhan sosioekonomi, membuka peluang baharu kepada pekebun kecil serta mengangkat martabat kehidupan desa yang berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata Program Santuni Pekebun Kecil itu diperkenalkan bagi menyampaikan maklumat dan informasi bersasar, selain menjadi platform memastikan segala maklumat, tunjuk ajar serta program sokongan dapat dilaksana secara menyeluruh, tepat dan cepat kepada golongan sasar.

Manndzri turut menekankan RISDA dan pekebun kecil khususnya Sabah memainkan peranan saling melengkapi merangkumi aspek pertanian, ekonomi keusahawanan dan sosial dalam ekosistem pembangunan getah di negeri itu.

“Hubungan ini wajib dipelihara melalui pelaksanaan program dan aktiviti bersesuaian dengan matlamat kerana kejayaan setiap inisiatif bergantung kepada sokongan serta kerjasama semua pihak. Di Sabah, hubungan erat antara RISDA dan komuniti pekebun kecil kekal pada tahap amat baik dan harmoni, sekali gus menjadi kekuatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan