KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan komitmennya membantu peminjam menunaikan tanggungjawab bayaran balik pinjaman dengan memperkenalkan semula Kempen Lestari Pendidikan, menawarkan pelbagai kemudahan penstrukturan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan individu.
PTPTN dalam kenyataan memaklumkan kempen yang berlangsung dari 15 Okt hingga 15 Dis ini terbuka kepada semua peminjam konvensional dan ujrah yang mempunyai tunggakan berjumlah RM500 dan ke atas.
Menerusi kempen ini, peminjam hanya perlu membuat bayaran pendahuluan 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi sebelum mengemukakan permohonan rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.
Menurutnya, inisiatif berteraskan konsep #PTPTNBolehBincang memberi peluang kepada pembayar menyusun semula jadual bayaran balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan masing-masing
“Peminjam boleh berbincang atau berunding untuk pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
“PTPTN bukan sahaja memberi ruang kepada peminjam menyusun semula komitmen kewangan, malah memastikan kelestarian dana pinjaman agar dapat terus dimanfaatkan oleh generasi pelajar akan datang,” menurut kenyataan itu.
Selaras dengan pelaksanaan kempen itu, PTPTN turut menganjurkan Bulan Mesra Pelanggan di semua pejabat negeri dan cawangan seluruh negara mulai 1 Nov hingga 15 Dis ini, menawarkan pelbagai ganjaran kepada peminjam yang membuat bayaran balik.
Antara tawaran termasuk cabutan bertuah bagi bayaran balik sekurang-kurangnya RM500 dengan hadiah tunai keseluruhan RM70,000 untuk 140 pemenang, selain cenderamata khas kepada 20 pelanggan terawal yang hadir membuat rundingan di kaunter Pejabat PTPTN negeri dan cawangan.
Bagi memudahkan urusan pelanggan, waktu operasi kaunter di pejabat negeri dan cawangan terpilih dilanjutkan dari 8.30 pagi hingga 6 petang, termasuk hari Sabtu dari 9 pagi hingga 5 petang, mulai 1 hingga 15 Dis 2025.
PTPTN turut menggalakkan peminjam membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit, sambil menikmati insentif menstrukturkan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial