AM > BERITA

Fadlun Mulakan Tugas Sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur Ke-16 Hari Ini

17/11/2025 01:01 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Datuk Fadlun Mak Ujud, yang dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-16, hari ini memulakan tugas secara rasmi menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan ketibaan beliau di Menara DBKL 1 disambut dengan sesi hormat daripada anggota Kawalan Kehormatan, Jabatan Penguatkuasaan agensi berkenaan. 

“Suasana kemeriahan turut diserikan dengan persembahan tarian selamat datang oleh artis budaya DBKL, sebagai tanda penghargaan dan sambutan warga kota terhadap kepimpinan baharu ini,” menurut kenyataan itu.

Fadlun melaksanakan punch in pertamanya sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-16, tanda rasmi bermulanya amanah besar memimpin jentera pentadbiran ibu kota.

Beliau kemudian dibawa ke Tingkat 29 Menara DBKL 1 untuk mendengar taklimat mengenai fungsi dan hala tuju agensi itu.

Fadlun, sebelum ini Presiden Perbadanan Putrajaya, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa Sabtu lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam perancangan bandar, pembangunan wilayah serta pengurusan bandar raya.

Menerusi kenyataan itu, DBKL turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Maimunah atas segala jasa, sumbangan serta kepimpinan cemerlang beliau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15, yang telah meninggalkan legasi kepimpinan berwawasan demi manfaat warga kota.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan