KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membentangkan kertas cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-82 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan pindaan itu merangkumi aspek pentadbiran, pendidikan dan hal ehwal tanah.
“Pindaan ini bertujuan memastikan tadbir urus tanah yang lebih teratur dan inklusif, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk melindungi kepentingan komuniti Orang Asli tanpa menjejaskan peranan serta bidang kuasa kerajaan negeri.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita akan terus memperkukuh dasar yang adil, telus dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata MTN juga menjadi platform penting untuk memperkukuh penyelarasan dasar antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam hal ehwal tanah di seluruh negara.
Pada Julai lepas, Ahmad Zahid dilaporkan berkata penyediaan draf pindaan akta itu yang melibatkan isu pemilikan tanah masyarakat orang Asli berada di fasa akhir, manakala Akta 134 terakhir dipinda pada 1967 dan disemak pada 1974.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial