KOTA BHARU, 17 Nov (Bernama) -- Golongan belia perlu menjadikan persidangan Belia Negeri Kelantan sebagai platform utama untuk membina kepimpinan generasi muda.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata persidangan itu memberikan peluang kepada belia untuk mendalami peranan kepimpinan serta menguasai ilmu dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk teknologi dan sejarah.
“Belia perlu menggunakan peluang ini untuk mendalami peranan kepimpinan kerana dalam dunia hari ini, pemimpin perlu mempunyai asas ilmu yang kukuh merangkumi pelbagai aspek kehidupan, termasuk teknologi dan sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Persidangan Dewan Belia Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Program Persidangan Belia Negeri Kelantan Muhammad Aiman Saipullah berkata 57 Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan terpilih menyertai persidangan itu, termasuk 27 peserta perempuan.
Beliau berkata enam usul persidangan akan dibentangkan, termasuk cadangan penyertaan belia dalam belanjawan negeri, polisi pengurusan unsur nadir bumi (REE), pemerkasaan produk seni, pembentukan platform digital pemprofilan belia dan cadangan pemerkasaan agenda keterjaminan makanan.
“Peserta cemerlang bakal menerima pengiktirafan khas daripada Kelantan Future Leaders Institute sebagai pemimpin muda berpotensi Negeri Kelantan, dan semua usul yang diterima akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial