AM > BERITA

Internet Murah Dan Selamat: Usaha Malaysia Jadi Rujukan, Tarik Perhatian Negara Afrika - Fahmi

17/11/2025 05:50 PM

 

Daripada Rosmalis Anuar

BAKU (Azerbaijan), 17 Nov (Bernama) -- Beberapa negara Afrika menyatakan minat untuk mencontohi usaha Malaysia dalam memastikan capaian internet yang bukan sahaja murah, malah selamat, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Justeru, beliau berkata, beberapa inisiatif seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta langkah-langkah bagi memastikan keselamatan internet khususnya di platform media sosial, akan dikongsi semasa Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25).

“Ini antara perkara yang saya percaya akan menarik minat rakan-rakan sejawat di WTDC-25.

“Mereka mungkin ingin mengetahui proses, undang-undang, tentangan serta cabaran yang kita hadapi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan WTDC-25 di sini hari ini.

Beliau berkata elemen kesalinghubungan yang bermakna, iaitu memastikan akses internet yang meluas, berkualiti dan selamat, turut menjadi tumpuan Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Doreen Bogdan-Martin dan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU Dr Cosmas Luckyson Zavazava semasa majlis itu.

Fahmi, yang mengetuai delegasi Malaysia ke WTDC-25 mulai semalam hingga Rabu ini, akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari pelbagai negara untuk bertukar pandangan mengenai inisiatif serta amalan terbaik dalam memastikan kesalinghubungan bermakna di negara masing-masing.

“Ini penting kerana tidak semua negara melaksanakan rangkaian 5G sepantas dan sebaik Malaysia, namun ada negara memilih strategi lain.

“Banyak yang boleh mereka pelajari daripada Malaysia, dan banyak juga yang boleh kita pelajari mengenai perkembangan teknologi telekomunikasi di negara mereka,” katanya sambil menyifatkan persidangan itu sebagai platform penting bagi negara anggota ITU memastikan tiada komuniti yang tercicir.

Bertemakan “Universal, Meaningful, and Affordable Connectivity for an Inclusive and Sustainable Digital Future,” WTDC-25 yang diadakan setiap empat tahun itu dianjurkan oleh ITU, dengan Azerbaijan sebagai tuan rumah pada edisi kali ini.

Dalam satu kenyataan, ITU memaklumkan persidangan berkenaan berlangsung sehingga 28 Nov dan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kesalinghubungan sejagat yang bermakna serta berpatutan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan