GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Seekor penyu lipas (Lepidochelys olivacea) betina dilepaskan semula di perairan Pulau Pinang hari ini, selepas menjalani proses pemulihan selama setahun akibat kecederaan parah pada kaki dayung kanan hadapan, selepas terbelit pukat hanyut nelayan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penyu berumur 15 tahun itu, diselamatkan oleh nelayan tempatan di perairan Tanjung Tokong dan diserahkan kepada Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut (PKPP), untuk rawatan dan pemulihan.
“Proses pemulihan telah dibantu oleh kakitangan PKPP, Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang serta pihak FRI Rantau Abang, sementara pelepasan penyu disempurnakan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Jalil,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata pelepasan tersebut, menandakan kejayaan usaha pemuliharaan serta komitmen berterusan Jabatan Perikanan Malaysia, dalam memastikan kelestarian spesies penyu lipas di negara ini.
Beliau memaklumkan sejak 2021 hingga 2025, sebanyak 15,485 ekor anak penyu telah berjaya dilepaskan, manakala di Pulau Pinang sahaja 78,394 ekor penyu berjaya ditetaskan dan dilepaskan.
“Aktiviti konservasi ini turut menarik minat pelawat dengan PKPP Pantai Kerachut menerima 36,353 pelawat sehingga Oktober 2025, terdiri daripada 24,392 pelawat tempatan dan 11,961 pelawat antarabangsa,” katanya.
Beliau menjelaskan PKPP turut melaksanakan pelbagai taklimat pendidikan, program kesedaran awam dan aktiviti sukarelawan sepanjang Januari hingga Oktober lepas.
-- BERNAMA
TAG: penyu lipas, pelepasan semula, perairan Pulau Pinang, Datuk Adnan Hussain
SABA RRS HIS
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial