GEORGE TOWN, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan baharu Penginapan Pekerja secara Jangka Pendek (TLQ) selepas 31 Dis ini, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye.
Beliau berkata kelulusan yang diberikan bagi TLQ adalah bersifat sementara selama tiga tahun dan akan berakhir pada 31 Dis 2027, berdasarkan Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Sementara di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pulau Pinang yang dipinda pada 12 Feb lalu dan berkuat kuasa mulai 1 Mac 2025.
Menurutnya, setiap permohonan baharu TLQ memerlukan satu kitaran tiga tahun sebelum dapat diwujudkan.
“Garis panduan ini merupakan langkah penyelesaian jangka pendek kerajaan negeri bagi mengatasi isu penginapan pekerja, mengurangkan kesan negatif penempatan pekerja asing dalam komuniti dan memastikan kesejahteraan serta keharmonian penduduk tempatan terus terpelihara,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan K. Kumaran (PH-Bagan Dalam) mengenai rancangan kerajaan negeri untuk syarikat atau majikan yang ingin mengemukakan permohonan TLQ selepas tahun ini.
H’ng berkata PBT akan memberi tumpuan membantu pemohon TLQ sedia ada untuk beralih kepada Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) selaras dengan Garis Panduan Perancangan Pembinaan Penginapan Pekerja di Negeri Pulau Pinang 2022 (Centralised Labour Quarters, CLQ).
Mengambil kira pembangunan pesat dan peningkatan keperluan tenaga kerja asing di Pulau Pinang, kerajaan negeri kini sedang meneliti semula garis panduan CLQ bagi membantu majikan menyediakan kemudahan itu di lokasi yang sesuai, seperti di zon industri dan zon komersial.
“Dengan itu, majikan dapat menempatkan pekerja asing di satu lokasi yang dekat dengan tempat kerja, sekali gus mengurangkan isu sosial dan masalah trafik.
“Namun, aspek teknikal seperti nisbah plot bangunan, kapasiti, kemudahan asas, serta proses Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) masih dalam perbincangan akhir dan perlu diperhalusi bagi menghasilkan garis panduan yang inklusif dan berkesan,” katanya.
Ketika ini terdapat empat projek CLQ dalam kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 19 projek CLQ dalam kawasan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), meliputi projek yang sedang beroperasi, dalam pembinaan serta yang telah mendapat kelulusan kebenaran merancang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial