AM > BERITA

Belanjawan Johor: Pengangkutan Awam Diperkasa, Seiring Ledakan Pembangunan Dan Pembinaan RTS Link

18/11/2025 04:39 PM

JOHOR BAHRU, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor menerusi Belanjawan 2026 terus memperkukuh sektor pengangkutan awam bagi menyediakan perkhidmatan lebih selamat dan efisien, seiring kepesatan pembangunan serta pelaksanaan projek utama seperti Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata beberapa langkah strategik dirangka, termasuk kajian pengambilalihan terminal bas awam bagi memastikan piawaian pengurusannya dapat diseragamkan dan ditambah baik.

Beliau berkata kajian itu akan menentukan model terbaik untuk meningkatkan imej terminal di Johor supaya lebih berteknologi tinggi, bersih, selesa dan selamat mengikut piawaian Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sekali gus memberikan manfaat langsung kepada pengguna.

“… dengan ini, rakyat akan menikmati kemudahan terminal yang lebih teratur, keselamatan yang terjamin dan kebolehcapaian yang lebih sistematik,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Fazli  berkata usaha ke arah Agenda Bandar Pintar melalui pembangunan terminal bas sebagai hab pengangkutan moden turut menyokong pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan bandar-bandar utama, selain membuka peluang ekonomi melalui sewaan ruang niaga.

Sebagai permulaan, kerajaan negeri akan menaik taraf Terminal Bas Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang serta Terminal Bas dan Teksi Bandar Penawar dengan peruntukan RM2.6 juta.

Bagi memastikan rakyat terus mendapat manfaat, sebanyak RM31 juta disalurkan untuk kesinambungan pembiayaan Bas Muafakat Johor (BMJ), manakala RM895,000 diperuntukkan bagi inisiatif Pendigitalan Terminal Bas Awam Pintar dan penambahan tiang bas di laluan BMJ.

“Sementara itu, RM1.42 juta diperuntukkan bagi perkhidmatan Shuttle Bas Johor, iaitu bas percuma ke lokasi tumpuan kritikal seperti Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Zoo Johor dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI),” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyalurkan RM17 juta melalui Bantuan Khas Johor (BKJ) kepada 42,524 pemandu teksi dan p-panggilan yang layak, melibatkan pembayaran RM400 secara sekali beri sebagai sokongan kepada golongan pekerja sektor pengangkutan.

Dalam masa yang sama, aspek keterjaminan air dan ketahanan bencana turut diberi perhatian bagi memastikan sumber asas rakyat serta pembangunan ekonomi sentiasa stabil dan terlindung.

Beliau berkata RM7 juta diperuntukkan untuk usaha pemulihan alam sekitar termasuk menaik taraf lembangan sungai dan pemasangan log boom, seiring projek pengukuhan tebing oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sungai Mengkibol, Sungai Sayong dan Sungai Benut.

“Selain itu, RM2.55 juta diperuntukkan bagi mengawal hakisan pantai di kawasan kritikal seperti Pontian, Mersing dan Muar,” katanya.

Projek tebatan banjir turut dipergiat melalui peruntukan RM22.6 juta bagi kerja sistem perparitan dan hotspot tadahan banjir, manakala RM9.6 juta diperuntukkan untuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) merangkumi kajian teknikal serta projek mitigasi banjir jangka panjang.

Bagi menangani isu bekalan air tidak stabil, RM44.5 juta disalurkan untuk menaik taraf sistem agihan termasuk RM32 juta bagi meningkatkan tekanan air dan pembinaan tangki simpanan di kawasan hujung bekalan seperti Rengit, Batu Pahat.

“Penggantian paip utama di Redong, Segamat pula melibatkan kos RM12.5 juta untuk mengatasi masalah paip uzur dan tekanan rendah. Ia turut membabitkan penukaran sumber bekalan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Air Panas C yang telah dinaik taraf serta pemasangan paip bersaiz lebih besar,” katanya.

Beberapa projek ‘critical fix’ juga akan dilaksanakan termasuk penambahbaikan struktur kolam penenang Empangan Kahang yang rosak akibat tekanan air tinggi serta pembaikan cerun Empangan Juaseh, Segamat bagi memastikan kestabilan jangka panjang.

Di samping itu, RM1.1 juta diperuntukkan untuk sewaan Stesen Telemetri bagi pemantauan kualiti air, RM600,000 untuk sistem pemantauan kualiti air serta RM850,000 bagi pengurusan risiko empangan termasuk penyediaan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP).

Bagi penyelenggaraan jalan pula, kerajaan negeri menerima RM655 juta di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi kerja penyelenggaraan jalan negeri, pihak berkuasa tempatan, jalan kampung dan pertanian melibatkan rangkaian sepanjang 26,568 kilometer.

Dalam masa yang sama, aspek keselamatan dipertingkatkan melalui peruntukan RM22.76 juta untuk pembinaan serta naik taraf jambatan dan pelebaran jalan, manakala RM16.88 juta khusus bagi pemasangan dan naik taraf lampu jalan bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama pada waktu malam.

Belanjawan 2026 turut memberi tumpuan kepada kajian strategik dan projek baharu Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk kajian awalan menaik taraf Jalan Gunung Pulai dengan peruntukan RM3 juta serta RM5.79 juta untuk menyelesaikan pembinaan Jambatan Gelang Patah-Pendas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan