AM > BERITA

Mesyuarat HLC Setuju Laksana Program Pembangunan Belia Luar Bandar - TPM Ahmad Zahid

18/11/2025 05:04 PM

PUTRAJAYA,  18 Nov (Bernama) --  Mesyuarat High-Level Committee  (HLC) Pembangunan Desa Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini bersetuju melaksanakan Program Pembangunan Belia Luar Bandar oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai platform platform penyelarasan menyeluruh yang menyatukan program kepimpinan, kesihatan mental, sukan dan latihan sukarelawan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan itu membolehkan semua program belia dikordinasikan dari segi lokasi, fasiliti dan pelaksanaan, sambil memanfaatkan aset kementerian dan agensi di kawasan luar bandar.

Dalam kenyataan pasca HLC, Ahmad Zahid berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar melalui HLC sebagai platform tertinggi negara yang menyelaras dasar dan pelaksanaan pembangunan desa secara holistik, bersepadu dan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Mesyuarat hari ini menggariskan beberapa langkah strategik merentas kementerian untuk memacu pembangunan desa ke arah ekosistem lebih moden, inklusif dan berdaya tahan.

“HLC turut menegaskan keperluan merapatkan jurang pembangunan melalui peningkatan akses pendidikan, peluang ekonomi baharu, pembangunan bakat, penyepaduan digital serta pengukuhan tadbir urus di semua wilayah,” katanya.

Seiring komitmen meningkatkan keupayaan pendidikan awal luar bandar, HLC dimaklumkan tentang penyelarasan semula pendidikan awal di kawasan Felda melalui penutupan berperingkat 224 Pusat Literasi Keluarga (PLK) dan penyerapan lebih 3,200 pelajar ke kemudahan KEMAS yang mempunyai kurikulum standard serta tenaga pengajar bertauliah.

Ahmad Zahid berkata KEMAS juga akan memperluas Tadika Tunas Istimewa di kawasan Felda untuk kanak-kanak autisme, memastikan pendidikan inklusif dinikmati seluruh penduduk desa.

Selain itu, beliau memaklumkan HLC turut menyokong kerjasama strategik KKDW–Felda untuk memperluas latihan keusahawanan, pensijilan produk, pemasaran digital serta memanfaatkan aset Felda terbiar sebagai pusat latihan kemahiran, memberi manfaat kepada lebih 112,000 peneroka.

“Mesyuarat juga bersetuju memperluas penyertaan usahawan Felda dalam program arus perdana seperti Rural Business Challenge, Gate-to-Global, pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Geran Sejati MADANI, termasuk menjadikan aset Felda yang tidak beroperasi sebagai pusat Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi belia dan generasi baharu,” katanya.

Bergerak selari dengan agenda pendigitalan negara, HLC memandatkan pembangunan Papan Pemuka Data Pembangunan Desa Nasional, sebagai instrumen tadbir urus utama untuk mengenal pasti jurang liputan perkhidmatan, mengurangkan pertindihan fungsi, serta memastikan keputusan dasar dibuat tepat berasaskan data masa nyata.

Ahmad Zahid berkata kesemua langkah ini mengukuhkan empat fokus utama HLC: menjadikan desa sebagai pusat kerjaya, memacu gelombang tekno-usahawan, memperkasa agensi wilayah dan mengangkat pelancongan desa sebagai pemangkin ekonomi. Langkah-langkah ini diharap mempercepat usaha merapatkan jurang pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar secara mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan