KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- AIA PUBLIC Takaful Bhd hari ini melancarkan Program Biasiswa AIA Penyala Harapan, inisiatif bagi memperkasa pelajar Malaysia yang berpotensi tinggi, dengan peruntukan RM1.6 juta disalurkan melalui kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kenyataan AIA memaklumkan biasiswa ini direalisasikan hasil sumbangan lebihan takaful peserta sijil AIA PUBLIC Takaful yang disalurkan secara kolektif ke dalam Tabung Amal AIA Penyala Harapan iaitu dana khas yang ditubuhkan oleh pengendali takaful tersebut bagi menyokong pelbagai usaha kebajikan yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di seluruh Malaysia.
Menurut AIA, biasiswa ini terbuka kepada pelajar tahun pertama yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Perbankan Islam, Kewangan Islam dan Undang-Undang, dengan RM1.6 juta diperuntuk bagi menyokong 20 penerima bagi kohort pertama yang merangkumi perbelanjaan yuran pengajian dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian sehingga empat tahun.
“Para penerima biasiswa juga berpeluang untuk menjalani latihan industri bersama AIA PUBLIC Takaful, tertakluk kepada pemenuhan syarat akademik dan program,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful Mohd Asri Omar berkata pihaknya berbesar hati kerana program biasiswa ini adalah inisiatif pertama yang direalisasikan melalui Tabung Amal AIA Penyala Harapan.
“Di AIA, matlamat kami adalah untuk membantu masyarakat menjalani kehidupan yang lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna - dan kami percaya pendidikan merupakan antara cara terbaik untuk mencapainya.
“Dengan UIAM sebagai rakan universiti, kami komited membentuk pelajar yang bersemangat dan berwawasan serta memperkasa mereka untuk membina masa depan dan membawa impak positif bukan sahaja kepada kehidupan mereka malah kepada keluarga serta komuniti,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu turut mencerminkan inti pati proposisi unik mereka iaitu Penyelesaian Syariah Menyeluruh yang berlandaskan prinsip Maqasid Shariah untuk menunjukkan bahawa Takaful bukan sekadar pelan perlindungan tetapi juga membawa makna yang lebih mendalam.
“Melalui satu daripada tonggak utama proposisi ini, Berkat Sama-Sama, produk kami membolehkan pelanggan menghayati semangat kebersamaan dengan mendermakan lebihan takaful mereka untuk kesejahteraan masyarakat.
“Kami berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan oleh para pelanggan untuk menyalurkan lebihan takaful mereka bagi membantu golongan belia Malaysia mengejar aspirasi akademik serta membina kerjaya yang bermakna, dan kami amat menghargai sumbangan ini yang telah menjadikan inisiatif ini satu kenyataan,” katanya.
Menurut AIA PUBLIC Takaful, matlamatnya adalah untuk membina ekosistem biasiswa mampan yang akan terus mengangkat dan memberi inspirasi kepada generasi muda agar dapat berkembang maju melalui kuasa pendidikan.
Kenyataan itu memaklumkan UIAM dipilih sebagai rakan strategik kerana reputasi akademiknya yang kukuh serta peranannya sebagai universiti Islam terkemuka di Malaysia, dan merupakan antara institusi Islam terunggul di peringkat global.
Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti Profesor Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin pula berkata: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan AIA PUBLIC Takaful dalam inisiatif yang bermakna ini".
Beliau berkata di UIAM, pihaknya komited untuk melahirkan graduan yang holistik, menggabungkan kecemerlangan akademik dengan nilai etika yang kukuh.
“Kami percaya kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar-pelajar kami tetapi juga dapat mengukuhkan semangat tanggungjawab bersama dalam komuniti takaful serta dapat menggalakkan usaha kolaboratif yang lebih besar bagi menyokong pendidikan dan kemajuan sosial,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pemilihan penerima biasiswa adalah berdasarkan gabungan prestasi akademik, keperluan kewangan serta aspirasi masa depan yang jelas, dan kerjasama ini memastikan para penerima biasiswa bukan sahaja menerima sokongan kewangan tetapi juga bimbingan yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan pembangunan peribadi.
“Penerima yang layak dan telah menerima tawaran kemasukan bagi kursus ijazah sarjana muda yang dinyatakan di UIAM digalakkan untuk memohon melalui Bahagian IEF atau layari www.aia.com.my untuk maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial