Oleh Siti Baaqiah Mamat
KOTA BELUD, 19 Nov (Bernama) -- Tudung duang, seni anyaman tradisional masyarakat Bajau Samah atau Bajau Sama yang diperbuat daripada daun pokok serdang atau nipah, bukan sekadar berfungsi sebagai penutup makanan tetapi lambang warisan budaya etnik itu, yang sinonim dengan pakaian tradisi berwarna-warnanya.
Dalam tradisi lama, tudung duang turut menjadi pelengkap ketika menghadiri majlis kenduri, upacara adat dan acara gotong-royong, berfungsi melindungi makanan daripada habuk serta serangga.
Bagi memelihara keunikan kraf tangan ini, Jaimme @ Afmieza Ayub, 47, meneruskan legasi ibunya menganyam tudung duang sejak 2018 yang kemudiannya kini bertukar sebagai sumber pendapatan tetapnya.
Sebagai generasi ketiga yang mengusahakan perniagaan itu di Kampung Pangkalan Abai di sini, beliau berkata minat terhadap kraf anyaman bermula sejak kecil apabila sering memerhati kakak-kakaknya menghasilkan pelbagai anyaman tradisional.
“Dalam masyarakat Bajau Samah, kemahiran menganyam biasanya diwarisi turun-temurun dan dianggap sebagai satu kelebihan bagi wanita, setaraf dengan kemahiran membuat bakul atau menenun tikar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata minat mendalam itu akhirnya berkembang menjadi sumber rezeki apabila Jaimme mula menjual hasil anyamannya di tamu (pasar) serta melalui platform dalam talian, yang berjaya menarik minat pelanggan dari seluruh Sabah, Sarawak, Semenanjung dan Brunei.
Disebabkan permintaan pelanggan yang meningkat terhadap tudung duang kerana bentuk unik dan corak geometrinya yang menjadi pilihan pengumpul kraf serta peminat dekorasi, Jaimme berkata beliau kini mampu memperoleh pendapatan konsisten sekitar RM3,000 sebulan.
Berkongsi proses pembuatan, Jaimme berkata ia bermula dengan pemilihan daun serdang yang kemudiannya dicelup ke dalam air panas bersama pewarna sehingga sebati, sebelum dijemur sehingga kering.
“Selepas daun kering dan warnanya tidak lagi luntur, kita perlu melembapkan semula daun itu dengan kain, sebelum digulung kerana jika daun kering, ia mudah pecah dan hasilnya tidak cantik,” katanya.
Beliau berkata setiap tudung duang dihasilkan dengan tangan menggunakan jahitan yang kemas, dengan rangka yang dibuat daripada daun nipah atau kotak sebagai penyokong.
Menurut Jaimme teknik menyusun helaian daun yang bersilang mempunyai persamaan dengan anyaman tradisional masyarakat lain, namun tudung duang mempunyai bentuk dan struktur yang lebih kukuh berbanding penutup makanan dari daerah lain.
Jaimme berkata bentuk dan corak tudung duang boleh disesuaikan mengikut permintaan pelanggan dengan tempoh penghasilan antara satu hingga tiga hari dan beliau menjualnya bermula pada harga RM8 sehingga RM45 seunit selain kerap menerima tempahan berskala besar sehingga 400 unit.
Beliau berkata permintaan tinggi itu turut didorong oleh penggunaan tudung duang dalam hantaran perkahwinan, dekorasi acara rasmi serta sebagai cenderamata korporat kerana identitinya yang begitu sinonim dengan budaya Bajau Sabah.
Walaupun berdepan cabaran terutamanya ketika musim hujan yang menyukarkan proses pengeringan daun, Jaimme tetap komited mengekalkan kualiti dan keaslian kraf ini, sambil berharap seni anyaman ini terus dipelajari generasi muda agar warisan tradisional yang unik ini tidak pupus.
“Dulu kami menggunakan daun nipah tetapi banyak buaya sekarang. Jadi, sukar untuk ambil di sungai atau hutan, sebab itu kami bertukar kepada daun serdang yang lebih mudah didapati,” katanya yang berhasrat mempromosikan seni tradisional Bajau Samah itu kepada masyarakat luar.
Kota Belud yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Kota Kinabalu mempunyai empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 iatu Pintasan, Tempasuk, Usukan dan Kadamaian pada 29 Nov ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial