Oleh Suraidah Roslan
SANDAKAN, 19 Nov (Bernama) -- Monyet probosis yang menjadi tarikan pelancong di sini sebenarnya boleh ‘dipanggil’ supaya dapat dilihat dari dekat menerusi teknik tertentu, namun sedikit kesilapan sudah memadai untuk menyebabkan tiada seekor pun muncul ketika sesi memberi makanan kepada haiwan itu.
Itulah realiti harian Mohammad Sabri Laleling, 28, seorang renjer di Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary yang tugasnya termasuk "berbicara" dengan monyet Belanda yang diberikan gelaran si ‘Bayau’ oleh penduduk tempatan.
Mohammad Sabri berkata renjer terdahulu memberitahunya bahawa beliau hanya perlu berlatih selama seminggu untuk membolehkan monyet itu mengenali suaranya.
“Namun, selepas seminggu saya belajar teknik memanggil monyet probosis daripada renjer lama, tiada seekor pun yang datang. Saya belajar lagi untuk minggu kedua, ketika itu saya rasa teruja apabila monyet mula muncul semasa dipanggil,” katanya kepada Bernama.
Renjer yang telah berkhidmat di Labuk Bay selama lapan tahun itu berkata ada ketikanya mamalia berkenaan langsung tidak menampakkan diri meskipun berulang kali dipanggil, sehingga memaksa pihak santuari memulangkan bayaran tiket kepada pelawat.
Dalam keadaan tertentu, beliau terpaksa masuk ke kawasan paya bakau sekitar ladang untuk menarik perhatian monyet Belanda supaya datang ke platform yang disediakan sebelum ketibaan pelancong.
Terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit seluas 300 hektar, Labuk Bay merupakan antara destinasi pelancongan alam semula jadi yang unik di Sandakan, menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan alam yang sukar ditemukan di tempat lain.
Sementara itu, Penolong Pengurus Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary Ahmad Dinsa Sasang, 54, berkata idea membuka pusat pelancongan berkenaan tercetus apabila majikannya ternampak seekor monyet Belanda kerap datang ke kawasan ladang.
“Apabila mendiang majikan kami memberi makanan, monyet Belanda itu berulang kali mengunjungi kawasan berkenaan. Maka, timbullah idea mewujudkan Proboscis Monkey Sanctuary itu pada 2000 dan seterusnya dibuka kepada orang awam pada 2001,” katanya.
Beliau berkata monyet Belanda itu hidup liar di sekitar kawasan ladang sawit, justeru bagi memastikan ketibaan kumpulan monyet itu tepat pada masanya, renjer akan mula memanggil haiwan tersebut sekurang-kurangnya dua jam sebelum sesi pemberian makanan bermula.
Namun, lebih mengujakan, bukan hanya monyet probosis yang muncul, beberapa spesis lain turut 'hadir' di dua platform yang disediakan antaranya silvered leaf monkey serta kera atau macaque berekor panjang dan berekor pendek.
Beliau berkata kehadiran pelbagai spesies itu menjadikan suasana di Labuk Bay lebih hidup, seolah-olah pengunjung berada di tengah-tengah pentas alam yang mempamerkan hubungan harmoni antara hidupan liar di sekitar ladang
Setiap hari kira-kira 30 hingga 40 ekor monyet probosis yang datang dalam beberapa kumpulan berbeza.
Ahmad Dina berkata monyet Belanda biasanya diberikan pankek tanpa gula yang dimasak khas oleh petugas dan juga timun dengan kos penyediaan makanan mencecah RM2,000 sebulan.
Parlimen Sandakan mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Elopura dan Tanjong Rapat yang akan terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial