AM > BERITA

PACU Anjur Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku Dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025

19/11/2025 02:51 PM

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) akan menganjurkan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 (Program Rancakkan MADANI), di pekarangan Dataran Putrajaya bermula 5 hingga 7 Dis ini.

Dalam kenyataan hari ini, PACU memaklumkan program berskala nasional dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia, diadakan bertujuan memaparkan pencapaian, kemajuan dasar serta keberhasilan inisiatif 2025 secara telus dan terus kepada rakyat.

Program Rancakkan MADANI turut menjadi platform mempertemukan rakyat dengan pemimpin negara antaranya melalui kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jemaah Menteri serta pimpinan tertinggi kerajaan.

“Penganjuran ini memberi peluang kepada rakyat memahami dengan lebih jelas hala tuju serta matlamat kerajaan, di samping melihat bagaimana pelaksanaan pelbagai inisiatif memberi manfaat kepada komuniti dan sektor ekonomi.

“(Kehadiran pemimpin negara) sepanjang program membuka ruang untuk beramah mesra, mendengar pandangan rakyat dan memahami keperluan masyarakat secara lebih dekat, sekali gus memperkukuh hubungan yang lebih erat antara kerajaan dan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Program Rancakkan MADANI itu akan berlangsung mulai 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada hari Ahad dari pukul 9 pagi hingga 6  petang.

PACU memaklumkan program itu berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan dan menyebar luas Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), bagi membolehkan masyarakat menilai sendiri usaha pembaharuan yang sedang digerakkan kerajaan dalam memperkukuh mutu penyampaian Perkhidmatan Awam.

“Melalui pendekatan Associated and Integrated Strategy, ARPA digerakkan bagi memastikan Perkhidmatan Awam kekal cekap, berintegriti dan benar-benar berfokus kepada keperluan rakyat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Buat julung kalinya, program selama tiga hari tu bakal menghimpunkan pelbagai inisiatif dan program utama kerajaan melalui lapan segmen utama di bawah satu bumbung.

Pengisian ini termasuk Produk Rakyat MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, Kepengerusian ASEAN dan hubungan antarabangsa, Ukhuwah Rakyat MADANI, Belia MADANI, Tahun Melawat Malaysia 2026 serta ARPA.

“Keseluruhan segmen ini dirangka bagi memaparkan ekosistem dasar kerajaan secara lebih holistik, mudah diakses dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Selain daripada pelbagai perkhidmatan secara langsung yang ditawarkan oleh kementerian dan agensi, pelbagai aktiviti menarik turut menanti para pengunjung, termasuk pameran aset pertahanan, perkhidmatan kesihatan, pembudayaan komponen TVET dan STEM AI, karnival kerjaya dan mini karnival pelancongan.

Turut diadakan program penukaran topi keledar percuma, pesta buku, pertunjukan kucing, Jualan Rahmah termasuk Jualan Kembali ke Sekolah, agro dan barangan sukan, Fiesta Coffee, agihan biji benih dan anak pokok, perkhidmatan tukar minyak enjin motosikal percuma, gunting rambut percuma, pertandingan sukan jalanan, e-sukan serta deretan trak makanan yang menawarkan pelbagai pilihan makanan.

Seiring dengan itu, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 akan turut berlangsung sebagai antara komponen utama program dengan menampilkan ucaptama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Konvensyen ini diadakan bagi membuka ruang perbincangan yang lebih komprehensif mengenai hala tuju dan masa depan reformasi perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu. 

PACU memaklumkan majlis perasmian penutupan pada hari terakhir akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, diikuti sesi dialog awam sebagai wadah dialog terbuka antara pimpinan negara dan masyarakat.

Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan sesi tinjauan mesra di sekitar tapak program untuk bertemu dan berinteraksi secara dekat dengan para pengunjung yang hadir.

Program itu merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM), yang telah menjadi tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI secara terus kepada rakyat.

“Ia sekali gus menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan penyampaian pelaporan prestasi secara berkala yang telus, terbuka dan sentiasa berpaksikan rakyat,” menurut PACU.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan