AM > BERITA

Air Terawat Dari Perak: Caj Kapasiti RM210 Juta Setahun Berdaya Saing - Exco

19/11/2025 08:51 PM

GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Kos yang ditawarkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) pembekalan air terawat dari Perak ke Pulau Pinang oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak bersama Gamuda Berhad JV (PKNPk-Gamuda JV) sebanyak RM210 juta setahun adalah berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) telah membuat usaha wajar dengan membandingkan kos sekiranya dibina secara Bina, Kendali dan Pindah (BOT) seperti yang digunakan bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Muda dan LRA Sungai Perai.

“PBAPP mendapati kos yang ditawarkan adalah berdaya saing setelah mengambil kira segala kos termasuk kos pembinaan LRA, pengambilan tanah, sistem paip yang perlu dihubungkan dari LRA di sekitar Bukit Merah hingga Sungai Kerian di Pulau Pinang dengan kos kewangan termasuk faedah pinjaman, kos penyelenggaraan dan penaiktarafan infrastruktur selama 40 tahun.

“Caj kapasiti tahunan RM210 juta akan ditanggung PBAPP sebagai sebahagian kos pembelian air, ia merupakan sebahagian daripada perbelanjaan operasi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 (Belanjawan negeri 2026) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata caj kapasiti berkenaan dikenakan oleh Perak kerana segala kos infrastruktur air terawat perlu ditanggung oleh pihak mereka untuk pembinaan LRA berkapasiti 500 juta liter sehari (MLD) yang dibina secara khusus untuk kegunaan Pulau Pinang.

Pada 6 Nov lepas, PKNPk-Gamuda JV dan PBAPP menandatangani MoU bagi penjualan lebihan air terawat daripada Skim Bekalan Air Utara Perak (NPWSS) kepada Pulau Pinang.

Zairil berkata caj kapasiti tahunan pada kadar RM210 juta setahun antara perincian teknikal melalui MoU berkenaan selain caj bekalan air terawat pada kadar RM1.70/m3, kuantiti minimum bekalan sebanyak 300 MLD dan tempoh perjanjian 40 tahun dengan kajian semula kadar pada tahun ke-21.

Beliau berkata MoU berkenaan tidak mengikat dan bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama perniagaan jangka panjang melibatkan penjualan, penyediaan dan pembelian air dari Perak.

“MoU ini akan disusuli dengan sesi perbincangan dan rundingan, sebelum perjanjian rasmi dimeterai dan perjanjian itu kelak memerlukan kelulusan pelbagai pihak termasuk lembaga pengarah, pemegang saham, institusi kewangan, pihak-pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Bursa Malaysia,” katanya.

Zairil berkata PBAPP membeli air dari Perak bukan untuk kegunaan sendiri, sebaliknya akan dijual kepada pengguna termasuk pengguna bukan domestik seperti di kawasan perindustrian Seberang Perai Selatan (SPS) yang sedang rancak membangun, justeru tidak timbul isu penampungan caj kapasiti.

Bagi projek air dari Sungai Perak tersebut, beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan menanggung perbelanjaan dalam anggaran RM5 bilion untuk membina infrastruktur pengambilan dan pemindahan air mentah dari hilir Empangan Chenderoh ke Bukit Merah melalui terowong menembus bukit manakala kos infrastruktur air terawat seperti LRA dan paip ke Pulau Pinang adalah tanggungan pihak negeri.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan