AM > BERITA

MCMC, Anatel Brazil Meterai MoU Dalam Telekomunikasi, ICT

20/11/2025 09:25 AM

BAKU (Azerbaijan), 19 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Telekomunikasi Nasional Brazil (ANATEL) hari ini memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dalam Telekomunikasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Pertukaran MoU tersebut yang diadakan sempena Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) di sini, disaksikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

MCMC diwakili Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) Datuk Zurkarnain Mohd Yasin manakala ANATEL diwakili Presidennya Carlos Manuel Baigorri.

Fahmi berkata MoU itu adalah penting supaya pihak MCMC mempunyai kerjasama dengan rangkaian badan kawal selia di Amerika Selatan yang membolehkan pertukaran pengalaman antara kedua-dua pihak.

"Pengalaman yang berbeza, situasi mungkin berbeza dan kerencaman itu boleh membantu kita memahami apa boleh kita lakukan untuk terus meningkatkan kesalinghubungan termasuk di rantau kita," katanya.

Menurut Fahmi, pertukaran MoU itu sangat bersejarah, susulan Lawatan Negara Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva ke Malaysia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober lepas.

Sementara itu, Zurkarnain berkata ia adalah MoU pertama antara MCMC dengan badan kawal selia komunikasi di benua Amerika dan kerjasama itu memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat dalam pembangunan rangka kerja perundangan, susulan cabaran sentiasa berubah dengan perkembangan teknologi.

"MoU ini adalah untuk membangunkan keupayaan, berkongsikan maklumat berkaitan rangka kerja perundangan bagi mengatasi perkara-perkara melibatkan kawal selia industri yang makin berkembang terutamanya berkaitan kandungan.

"Apabila kita bercakap tentang kecerdasan buatan (AI) dan juga Quantum Communications, ini adalah perkembangan yang sentiasa baharu memerlukan kita berkongsi pengalaman dalam kalangan pengawas selia sektor ini," katanya.

Turut hadir, Duta Malaysia ke Azerbaijan Ahmad Kamrizamil Mohd Riza dan Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi, Kementerian Komunikasi Ahmad Norhad Zahari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan