KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sabah, dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Sabah menyokong agenda reformasi perburuhan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang memberi impak langsung kepada pekerja di Sabah.
Pengerusi MTUC Sabah Mohd Airy Arin, Pengerusi CUEPACS Sabah Ajulahin Japin dan wakil UNI-MLC Sabah Jackelina Lajium dalam kenyataan bersama berkata reformasi yang dilaksanakan KESUMA membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan Persekutuan terhadap hak serta nasib pekerja di negeri itu.
Mereka turut menekankan bahawa hubungan erat dan kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan agenda kebajikan dan pembangunan pekerja di Sabah mendapat perhatian sewajarnya.
Antara inisiatif utama ialah usaha yang dibawa Menteri KESUMA, Steven Sim, melalui pindaan Ordinan Buruh Sabah pada 2024 yang menamatkan penantian selama 20 tahun para pekerja, sekali gus menjadi titik perubahan penting dalam sejarah perburuhan negeri itu.
“Langkah ini memastikan pekerja di Sabah akhirnya menikmati perlindungan yang lebih setara dan sejajar dengan standard buruh semasa seperti yang diamalkan di negeri-negeri Semenanjung,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kesatuan tersebut mengalu-alukan penggubalan Akta Pekerja Gig yang buat pertama kali mengiktiraf sumbangan golongan pekerja gig serta menyediakan kerangka perlindungan sosial kepada mereka.
Menurut kenyataan itu, pengiktirafan undang-undang amat penting bagi memastikan tiada pekerja tercicir daripada jaring keselamatan sosial negara, terutamanya dalam era ekonomi digital dengan ribuan anak Sabah bergantung kepada platform gig untuk menyara kehidupan.
“Dalam semangat yang sama, kami menyatakan sokongan padu terhadap inisiatif terbaharu KESUMA bagi memastikan pekerja dilindungi secara menyeluruh 24 jam sehari oleh PERKESO, bukan hanya semasa waktu bekerja.
“Ini merupakan perubahan besar dalam memperluas liputan keselamatan sosial selepas waktu bekerja. Dengan perlindungan ini, para pekerja akan lebih yakin kerana risiko di luar waktu kerja kini turut dilindungi,” menurut kesatuan itu.
Pada 9 Sept lepas, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, sekali gus mengakhiri era tiada perlindungan undang-undang terhadap lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial