TAWAU, 20 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri menasihati penduduk Sabah yang berdepan kemelut anak tanpa dokumentasi akibat masalah perkahwinan ibu atau bapa warganegara, supaya tampil membuat permohonan kewarganegaraan di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya sedia membantu namun permohonan daripada pihak terbabit diperlukan untuk penelitian termasuk pengumpulan data.
"Permohonan itu nanti akan diuruskan oleh jawatankuasa bersama (Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan oleh kerajaan Sabah dan KDN), tahun ini pun diadakan dua mesyuarat jawatankuasa itu di peringkat saya dan (Ketua Menteri) Datuk Seri Hajiji Noor dan kami telah meluluskan sejumlah permohonan yang dikemukakan mengikut lunas undang-undang.
"Walaupun ini satu permulaan kecil namun kami percaya kami di atas landasan yang betul. Perkahwinan mesti didaftarkan mengikut undang-undang, kalau tidak, anak-anak dilahirkan menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pimpinan Masyarakat DUN Merotai hari ini.
Saifuddin Nasution berkata kerajaan telah melakukan perkara yang betul dari aspek peraturan dan undang-undang iaitu mewujudkan jawatankuasa bersama antara kerajaan negeri dan KDN.
Terdahulu ketika berucap, beliau berkata permohonan itu perlu didaftarkan dengan Jabatan Ketua Menteri dan dilengkapkan dengan pengesahan termasuk daripada ketua kampung di lokasi mereka melangsungkan perkahwinan.
“Kita susun balik, termasuk daftar semula perkahwinan bersama Jabatan Agama Islam meskipun perkahwinan sudah lama, ikut lunas undang-undang, kemudian permohonan akan diteliti sebelum diluluskan untuk pemberian dokumen pengenalan diri.
“Kita jangan hukum anak-anak, kerana anak-anak ini mahu ke sekolah susah, sakit demam mahu ke hospital perlu bayar mahal akibat ketiadaan dokumen pengenalan ini, menjadi tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Sabah akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 pada 29 Nov ini dan undi awal pada 25 Nov.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
Untuk berita terkini PRN Sabah, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial