AM > BERITA

PTKBN Malaysia Perlu Tindakan Tegas - MOSTI

20/11/2025 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Pelan Tindakan Kesihatan Bumi Negara (PTKBN), yang memetakan peralihan kelestarian jangka panjang Malaysia, memerlukan tindakan tegas merentasi lima bidang utama, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Beliau berkata pelan itu menyediakan hala tuju strategik yang diperlukan bagi menyokong perjalanan kelestarian Malaysia.

“Bagi menghidupkannya, kita mesti bertindak tegas dalam lima bidang utama. Pertama, kita mesti memperkukuh kepimpinan institusi melalui Majlis Kelestarian Negara untuk menyelaraskan keutamaan dan memacu tindakan yang padu,” katanya dalam ucapan pembukaan pada majlis Forum Kesihatan Bumi Negara di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Datuk Ruziah Shafei, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, Ketua Pegawai Eksekutif ASM Hazami Habib dan Pengerusi PTKBN Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail.

Chang berkata pengukuran kemajuan yang bermakna adalah penting bagi memastikan keberkesanan pelan berkenaan.

“Kedua, kita mesti mengukur perkara yang benar-benar penting dengan menggunakan Rangka Kerja Penilaian Impak untuk menilai kemajuan merentasi alam sekitar, masyarakat, ekonomi dan tadbir urus.

“Ketiga, kita mesti melabur dalam kecerdasan alam sekitar melalui Pangkalan Data Genomik Negara dan sistem data yang mampu memantau biodiversiti, pencemaran dan risiko kesihatan secara masa nyata,” katanya.

Beliau berkata perubahan minda dan mentakrif semula kemajuan adalah sama penting bagi memastikan kesejahteraan sosial dan alam sekitar jangka panjang.

“Akhirnya, kesihatan planet mesti menjadi perbualan nasional dan pendidikan adalah kunci dalam membentuk minda serta tingkah laku ke arah budaya kelestarian,” katanya.

PTKBN, yang dimandatkan pada 2022 oleh Majlis Sains Negara melalui MOSTI dan dibangunkan oleh ASM, berfungsi sebagai pelan induk Malaysia untuk melaraskan pembangunan dalam batasan planet.

Chang berkata MOSTI kekal komited menyokong agenda kelestarian Malaysia melalui penyelidikan dan inovasi yang sejajar dengan kesihatan planet.

“Matlamat kami adalah untuk produk, teknologi dan sistem baharu membuat sumbangan bermakna ke arah masa depan yang lebih sihat dan lestari,” katanya.

Sementara itu, Tengku Mohd Azzman Shariffadeen dalam ucapan aluannya berkata PTKBN direka bentuk untuk menggerakkan Malaysia melangkaui penambahbaikan bersifat berperingkat ke arah pendekatan yang lebih sistematik dan transformasi terhadap kelestarian.

“PTKBN bertujuan melindungi komuniti, memelihara ekosistem semula jadi dan mengukuhkan daya tahan ekonomi jangka panjang negara,” katanya.

Pada acara sama, PTKBN diperkenalkan secara rasmi, memperincikan rangka kerja menyeluruh yang menyepadukan prinsip kesihatan planet merentasi tadbir urus, pendidikan dan industri.

Pelan itu mengguna pakai pendekatan seluruh negara yang disokong oleh enam Bidang Keberhasilan Utama, 53 strategi dan 222 pelan tindakan yang dirangka untuk memacu Malaysia ke arah daya tahan ekologi dan sosial jangka panjang.

Pelan itu dipandu oleh prinsip yang berteraskan kemanusiaan, berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI), berasaskan alam semula jadi dan dipacu nilai, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai penjaga planet yang bertanggungjawab serta komited melahirkan bakat berdaya saing global demi masa depan lestari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan