AM > BERITA

Penglibatan Belia Dalam Koperasi Masih Rendah-SKM

21/11/2025 09:43 AM

MELAKA, 21 Nov (Bernama) -- Penglibatan belia dalam gerakan koperasi di negara ini masih rendah dengan hanya kira-kira 87,000 orang melibatkan penubuhan sebanyak 207 koperasi, setakat hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, di Melaka, lima koperasi melibatkan 1,025 anggota belia telah ditubuhkan, majoritinya dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan pertanian.

“Kita memberi keutamaan pada tahun hadapan untuk menubuhkan lebih banyak koperasi belia kerana golongan ini bukan sahaja pelengkap tetapi juga masa depan koperasi negara.

“SKM akan berusaha memastikan penyertaan mereka meningkat melalui pelbagai pendekatan, walaupun tiada sasaran khusus ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Melaka 2025, yang dirasmikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin, serta Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin.

Ahmad Norihan berkata walaupun penubuhan koperasi belia menjadi keutamaan, kualiti tetap menjadi teras agar setiap koperasi berdaya saing, kekal dalam perniagaan, dan memberikan pulangan baik.

SKM sentiasa menyediakan khidmat nasihat, bimbingan, dan pelbagai program pembangunan, termasuk kemudahan geran, pembiayaan, atau pinjaman bagi menyokong perkembangan koperasi.

Menurut beliau, koperasi di Melaka turut mencatat pencapaian positif hasil sokongan kerajaan negeri.

“Sehingga Disember tahun lalu, negeri ini mempunyai 504 koperasi berdaftar dengan 173,000 ahli, syer dan yuran terkumpul RM107.05 juta, aset terkumpul RM598.66 juta, dan perolehan gerakan koperasi RM181.64 juta,” katanya.

Dalam majlis sama, kerajaan negeri menyampaikan dana RM200,000 di bawah Program Bantuan Pemerkasaan Koperasi Kluster Mikro (e-Mikro) dan peruntukan RM100,000 bagi program pembangunan koperasi 2025 kepada SKM Melaka.

Lima koperasi terbaik turut menerima anugerah, dengan tempat pertama dimenangi Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad. Buku Profil 30 Koperasi Terbaik Peringkat Negeri Melaka juga dilancarkan sebagai rujukan dan inspirasi kepada koperasi lain..

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan