Oleh M. Saraswathi
JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Suasana sidang media kali ini cukup luar biasa, selaras dengan corak lawatan tiga negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merentasi benua Afrika.
Kira-kira dua jam selepas berlepas dari Addis Ababa, Ethiopia, media yang menyertai rombongan dimaklumkan bahawa Anwar mempunyai sedikit masa untuk mengadakan sidang media ringkas.
Dengan jadual ketat yang tidak memberi ruang untuk sesi taklimat panjang semasa lawatan rasmi ke Ethiopia, para petugas media segera bersiap sedia untuk memanfaatkan peluang itu.
Galley, dapur kecil dalam pesawat yang digunakan untuk menyediakan makanan dan minuman, dengan pantas diubah oleh kru kabin menjadi lokasi sidang media pada ketinggian 40,000 kaki.
Dengan deruman enjin pesawat bergabung dengan bunyi perlahan klik kamera, sidang media selama 15 minit itu berlangsung dengan Anwar Ibrahim menjawab soalan berkaitan isu mendesak di tanah air.
“Saya sempat bertemu dan menjawab beberapa soalan daripada delegasi media yang turut serta dalam lawatan kali ini.
“Pertemuan ringkas ini memberi ruang untuk berkongsi hala tuju, menjelaskan beberapa dasar utama selain menegaskan komitmen Malaysia terhadap diplomasi yang telus, matang dan berpaksikan rakyat,” kata beliau dalam catatan di media sosial.
Walaupun suasananya tidak seperti kebiasaan, ia menambah elemen tindakan segera dan keakraban dalam pertukaran pandangan tersebut.
Kabin pesawat terasa lebih sempit daripada biasa memandangkan isu yang dibincangkan adalah berat dan serius, namun Perdana Menteri menjawab soalan dengan tenang, menjadikan sidang media tersebut lebih terbuka dan selesa.
Perdana Menteri berada di Johannesburg untuk lawatan kerja empat hari dari 20 hingga 23 Nov ke Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg sebagai tetamu Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.
Anwar dan delegasi kemudiannya akan berlepas ke Nairobi, Kenya pada 23 Nov bagi lawatan rasmi, persinggahan terakhir sebelum pulang ke tanah air.
Perjalanan lima jam dari Ethiopia ke Afrika Selatan menjadi pengalaman bermakna bagi wartawan, jurugambar, dan kru kamera.
Laporan daripada dalam penerbangan pesawat sewaan Malaysia Airlines MH8501 dibawakan oleh Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Saraswathi Muniappan, dan jurugambar Zulaikha Zainuzman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial