AM > BERITA

Johor Laksana Caj Kembara Bermula 1 Jan 2026 - Exco

21/11/2025 07:55 PM

JOHOR BAHRU, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor akan melaksanakan Caj Kembara melalui penggubalan Enakmen Hotel Johor 2025 bermula 1 Jan tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau berkata enakmen itu antara lain memperkukuh bidang kuasa penguatkuasaan termasuk tindakan siasatan, penggeledahan, penutupan hotel tanpa lesen serta tindakan terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi syarat keselamatan atau menghalang tugas pegawai.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap hotel beroperasi secara teratur, mematuhi piawaian dan mengekalkan imej Johor sebagai destinasi pelancongan utama yang selamat serta berkualiti.

“Kita yakin bahawa pelaksanaan Enakmen Hotel Johor 2025 akan mengangkat tahap profesionalisme industri perhotelan, memperkukuh keselamatan pengguna dan meningkatkan daya saing sektor pelancongan negeri secara mampan, (malah) dengan rangka undang-undang yang komprehensif ini, Johor berada pada landasan tepat menuju pembangunan pelancongan yang lebih progresif menjelang Tahun Melawat Johor 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Jafni berkata bagi memastikan enakmen berkenaan difahami secara menyeluruh, pihaknya telah mengadakan satu sesi libat urus melibatkan semua 16 pihak berkuasa tempatan, Tourism Johor, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam sektor perhotelan, persatuan-persatuan pelancongan serta para penggiat industri, pada 24 Okt.

Beliau berkata melalui enakmen tersebut, syarat permohonan lesen, tempoh sah laku, piawaian operasi, pematuhan keselamatan serta keperluan penyediaan laporan kewangan telah diperincikan dengan lebih jelas bagi meningkatkan profesionalisme dan ketelusan dalam industri perhotelan. 

"(Manakala), kutipan Caj Kembara pula akan disalurkan ke akaun amanah khas bagi membiayai usaha penambah baikan kemudahan awam, infrastruktur pelancongan serta inisiatif Tahun Melawat Johor, " katanya. 

Sektor pelancongan Johor mencatatkan perkembangan positif apabila 10,397,810 orang penginap direkodkan bermalam di premis hotel seluruh negeri, berdasarkan statistik rasmi Tourism Malaysia. 

Angka ini menunjukkan peningkatan 8.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menandakan pertumbuhan pesat sektor pelancongan dan keperluan kepada kawal selia industri yang lebih mantap serta moden.

Untuk rekod, Melaka telah melaksanakan caj warisan, Pahang dengan caj kelestarian, manakala Perak menguat kuasakan caj perkhidmatan tempatan dan Pulau Pinang menerusi fi hotel, sementara Kedah melalui pentadbiran di Langkawi pula turut melaksanakan caj pelancongan seumpamanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan