AM > BERITA

Banjir Hat Yai: Rakyat Malaysia Ikat Perut, Catu Makanan

23/11/2025 06:38 PM

Oleh Nurin Nadrah Amran dan Wan Ainun Syafiqah Wan Zain

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang terkandas di Hat Yai sejak dua hari lepas berikutan banjir besar melanda kawasan itu terpaksa mengikat perut dan hanya bergantung dengan makanan disediakan pihak hotel selain bekalan yang sempat dibeli sebelum premis di sekitar bandar ditutup.

Seorang daripada mangsa Muhammad Aliff Ikhwan Ahmad, 31, berkata walaupun diberikan makanan oleh pihak hotel, mereka terpaksa mencatu dan berkongsi sedikit demi sedikit bagi mengalas perut.  

“Makanan kami kena catu sebab tak banyak...hotel bagi chicken wrap dua kotak untuk satu bilik sahaja, jadi kami terpaksa kongsi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Muhammad Aliff Ikhwan yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata mereka juga berhadapan dengan cabaran bekalan elektrik terputus selain bateri telefon semakin berkurangan hingga menyukarkan untuk menghubungi keluarga di tanah air untuk memaklumkan keadaan semasa.

Pada masa sama, beliau berdoa agar banjir cepat surut untuk membolehkan mereka keluar dari negara itu untuk pulang ke rumah.

“Kalau petang ini tak hujan, mungkin kami boleh dapat loader untuk balik ke sempadan di Bukit Kayu Hitam,” katanya yang memasuki Thailand pada 21 Nov bersama keluarganya .

Seorang lagi rakyat Malaysia Muhammad Ammar Jasni, 26, dari Sungai Petani yang turut berkongsi pengalaman ketika terkandas akibat bencana banjir di kawasan itu pada Jumaat lepas berkata air naik terlalu cepat selepas hujan lebat berterusan menyebabkan dia bersama beberapa rakannya terperangkap di sebuah hotel.

“Kami terperangkap di hotel berkenaan sebelum seorang daripada penduduk tempatan datang membantu membawa ke kawasan lebih selamat dan dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah kem tentera,” katanya

Menurutnya, di PPS berkenaan mereka terpaksa mencari bekalan makanan sendiri dari kedai-kedai yang tidak terjejas dengan banjir berikutan bahan makan disalurkan kerajaan Thailand di pusat pemindahan berkenaan tidak mencukupi.

Bagaimanapun, dia bersama rakannya bersyukur kerana banjir mulai surut dan mereka kini dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

Semalam, Kementerian Luar melaporkan, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hat Yai dan kawasan berhampiran terkandas berikutan banjir yang melanda kawasan itu, namun mereka semua berada dalam keadaan selamat dengan kebanyakannya berlindung di hotel penginapan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan