BAGAN DATUK, 23 Nov (Bernama) -- Tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan hanya terletak kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), malah ia tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata kesedaran menjaga alam sekitar secara menyeluruh, mesti ditekankan kepada kesemua golongan bukan hanya pelajar di sekolah.
“Soal menjaga alam sekitar tanggung jawab semua, bukan hanya pelajar malah kita yang dewasa juga tidak terlepas daripada tanggungjawab itu.
“Jangan salahkan alam sekitar jika (alam) tidak lagi mesra dengan kita, semua kejadian, kemusnahan alam berpunca daripada kita,” katanya merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Perak 2025, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim dan Pengarah JAS Perak Datuk Mohammad Ezanni Mat Salleh.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memuji komitmen negeri Perak dalam usaha penjagaan kelestarian alam sekitar, melalui usaha pelbagai pihak termasuk sekolah, masjid, agensi kerajaan dan rakan industri.
“Sebagai bukti komitmen, terdapat lebih 71 sekolah di seluruh Perak telah menyertai pertandingan pengumpulan sisa elektrik dan elektronik, dengan jumlah kutipan mencecah 38 tan metrik.
“Tidak cukup dengan itu, masjid di seluruh negeri turut menyahut seruan lestari ini, berjaya mengumpul 11 tan sisa elektronik,” katanya.
Sambutan HASN 2025 hari ini dengan tema “Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama” turut memperkenalkan artis terkenal iaitu Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie sebagai duta alam sekitar, bagi mempromosikan tema tersebut untuk negeri Perak.
HASN merupakan satu acara tahunan yang telah dianjurkan susulan termaktubnya Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar pada Oktober 1989, melalui pernyataan “menggalakkan program mengenai pendidikan alam sekitar secara aktif untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan masyarakat” di dalam Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM).
Bermula 1991, hari alam sekitar disambut sebagai Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM).
Pada 2016, ia dijenamakan semula kepada HASN dan disambut pada 21 Okt setiap tahun dan bagi negeri Perak tahun ini, daerah Bagan Datuk telah dipilih sebagai lokasi sambutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial