AM > BERITA

Banjir: Suruhanjaya Tenaga Nasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas

24/11/2025 01:07 PM

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan elektrik dan gas di musim banjir yang melanda ketika ini.

Dalam kenyataan hari ini, ST memaklumkan bahawa banjir boleh menimbulkan pelbagai risiko, termasuk tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus, dan kerosakan kelengkapan elektrik serta gas. Suruhanjaya itu turut berkongsi beberapa langkah pengawasan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas banjir.

“Sekiranya diarahkan berpindah, simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami air banjir. Matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik serta pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan daripada suis utama, seperti solar PV, pagar elektrik, atau pengecas kenderaan elektrik, dan tutup injap silinder gas atau gas berpaip,” menurut ST.

ST turut menasihati orang ramai supaya mengelak daripada melalui kawasan yang mempunyai talian atau pepasangan elektrik, seperti pencawang dan bilik suis yang ditenggelami air, serta tidak memegang tiang atau sebarang struktur yang menyalurkan elektrik.

Suruhanjaya itu juga menegaskan supaya tidak mengalihkan tiang elektrik tumbang atau talian putus, sebaliknya segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak utiliti elektrik.

Bagi memastikan keselamatan penggunaan elektrik dan gas selepas banjir, ST memaklumkan bahawa suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas hendaklah dimatikan sebelum kerja pembersihan dimulakan.

“Sebelum menghidupkan suis utama, pastikan kelengkapan elektrik berada dalam keadaan baik dan kering. Sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan talian, struktur pepasangan elektrik, dan saluran gas berpaip.

“Elakkan menggunakan kelengkapan elektrik dan peralatan gas yang diragui keselamatannya. Jika masih ragu, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan ST,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyimpan nombor telefon kecemasan, termasuk balai polis, bomba, hospital, dan syarikat utiliti berdekatan, serta memastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi ST melalui talin 03-8870 8800, e-mel eaduan@st.gov.my, atau melayari laman sesawang www.st.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan