AM > BERITA

Calon SPM Tetap Bersemangat Walaupun Terpaksa Ulang Kaji Di PPS

24/11/2025 04:44 PM

PARIT, 24 Nov (Bernama) -- Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Adam Haikal Abdullah tetap bersemangat melakukan ulang kaji pelajaran walaupun terpaksa berbuat demikian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tiga di sini akibat banjir.

Adam Haikal berkata walaupun berdepan sedikit kesukaran kerana fasiliti di PPS agak terhad, namun pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Shahriman, Manjung memahami perkara itu di luar jangka.

“Cuma, fokus sedikit terganggu disebabkan suasana (PPS) tidak sama dengan cara kita mengulang kaji di rumah, namun saya tidak boleh menjadikannya sebagai alasan. 

“Saya perlu manfaatkan masa yang ada untuk mengulang kaji sebanyak mungkin,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS itu hari ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata air mula memasuki rumah kira-kira 5 petang semalam berikutan hujan lebat berterusan sepanjang hari.

Adam Haikal yang tinggal bersama-sama nenek di Kampung Simpang Tiga bagaimanapun bersyukur kerana berjaya menyelamatkan barang berharga termasuk peralatan sekolah daripada ditenggelami air.

“Suasana agak kelam-kabut kerana air telah mencecah paras paha, namun berkat pertolongan jiran kami berjaya menyelamatkan pelbagai barangan,” katanya.

Sementara itu, warga emas Khadijah Mohd Isa, 74, yang menetap di Kampung Changkat Semantun Serapoh dengan suami Saari Othman, 84, menyifatkan banjir kali ini yang terburuk dalam tempoh sembilan tahun.

Walaupun tidak dapat menyelamatkan banyak barangan berharga, wanita itu bersyukur dirinya dan suami selamat dalam bencana itu.

“Kami tak sempat menyelamatkan barangan di rumah disebabkan saya mengalami penyakit saraf dan perlu menggunakan kerusi roda. Suami juga uzur akibat beberapa penyakit.

“Seingat saya, kira-kira 3 petang air telah mula mencecah paras dada. Mujur ada jiran membantu menyelamatkan kami keluar dari rumah,” katanya yang berharap banjir segera pulih.

--  BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan